Ini tentang cerita saman oleh syarikat loji rawatan air kerana pencemaran air di lojinya. Lojinya terletak di KM28, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.Dalam kes ini, Defendan Pertama (Syarikat Sidhu) telah melanggar lori tank Defendan Kedua.
Diakibatkan kemalangan, minyak sawit dari lori secara tidak sengaja tertumpah dalam loji. Kebetulan kemalangan pula di KM29.2, memang dekat sangat dengan kawasan loji. Ini telah menyebabkan loji ditutup selama 4 hari dan bekalan air tidak boleh disalurkan kepada penduduk dan kawasan terlibat.

Jadi dalam kes PUNCAK NIAGA (M) SDN BHD & ANOR v.SYARIKAT SIDHU ADEK BERADEK SDN BHD & ANOR [2014] 6 CLJ 382. Apa keputusan akhir mahkamah? Boleh dapat ganti rugi atau tidak? Sebab kalau fikir logik, kejadian ini tidak sengaja. Kemalangan kan? Siapalah hendak terlibat dalam kemalangan?
Kes ini tidak sama macam kes kilang yang menyebabkan pencemaran di Sungai Gong, Rawang. Itu secara sengaja membuang sisa ke dalam sungai, mereka hendak ambil jalan mudah. Kita yang merana berhari-hari tiada air.

Dalam kes Syarikat Sidhu ini, Mahkamah memutuskan bahawa pemandu lori iaitu wakil syarikat Defendan Pertama (Syarikat Sindhu) telah cuai dalam pemanduan sehingga melanggar lori tank Defendan Kedua dan menyebabkan tumpahan minyak.
Oleh kerana kecuaian tersebut, Defendan Pertama yang melanggar lori tank bertanggungjawab 100% atas kerugian yang dialami Plaintif (Puncak Niaga). Jadi maksudnya, sengaja ke tidak sengaja, yang paling utama berlaku pencemaran akibat kecuaian Defendan Pertama. Ganti rugi tetap kena bayar.

Bayangkan kes kilang yang mencemar Sungai Gong, ini secara sengaja. Kalau saman, memang best.Dalam kes Syarikat Sidhu ini, Plaintif tidak memberikan bukti yang cukup untuk menuntut kerugian. (Maksud bukti tidak cukup, dokumen kerugian yang dialami tidak lengkap atau tidak jelas atau jumlah yang dihujahkan oleh Plaintif dipertikaikan).
Namun demikian mahkamah memutuskan untuk membenarkan ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada Plaintif Pertama (syarikat merawat air) dan RM75,000 (syarikat membekal air). Oklah kan? 4 hari loji ditutup dan gangguan bekalan secara keseluruhan RM125,000. Disaman oleh dua entiti sahaja.

Beginilah, contoh kes yang pernah direkodkan di mahkamah, berkenaan sungai yang tercemar sehingga terputus bekalan air beberapa hari sehingga mengakibatkan kerugian. Samakan dengan situasi kita hari ini?
Jadi bermakna, kita boleh menyaman kilang itu secara sivil. Kalau pengarah kilang ditahan reman, itu antara dia dan kerajaan dan penguatkuasa. Kalau didenda pun, dibayar pada mahkamah iaitu kerajaan.

Syarikat begini, keuntungannya banyak. Dana pun banyak. Malah waktu beroperasi pun, mereka untung banyak apabila jimatkan kos pembuangan sisa. Mereka ambil jalan mudah, buang dalam sungai. Sudah kaya, tambah lagi kaya kerana jimat kos.
Tambah pula, ada carian syarikat melalui SSM yang menunjukkan kedudukan kewangan syarikat mereka, untung juta-juta, aset pun juta-juta. Apalah sangat, membayar denda puluhan ribu di mahkamah. Bagaimana pula kerugian pada penduduk dan peniaga yang terkesan beberapa hari ini?

Sekarang kita bayangkan pula, penduduk di Lembah Klang, kita ada berjuta-juta penduduk. Kita ada ratusan ribu kedai yang terkesan pasal isu air. Ada yang ditutup kerana tiada bekalan.Bayangkankita saman kilang ini. Bayangkan setiap satu kita lampirkan kerugian.
Bayangkan kedai-kedai yang ditutup dan tidak beroperasi beberapa hari kerana tidak ada air.Bayangkan kalau satu hari, keuntungan satu kedai puratanya RM3,000. Bayangkan kalau ribuan kedai begini, semuanya pakat menyaman.

Tambah dengan penduduk-penduduk pun turut menyaman. Kalau situasi begini, logiklah saman berjuta-juta. Mahu terduduk pemilik kilang yang mencemarkan sungai hendak bayar. Ikut macam kes Sivagangga.
Dalam kes Sivagangga, saya puji NGO Persatuan Pengguna Kedah yang bersedia mengumpulkan orang ramai untuk ambil tindakan dan meneruskan tindakan saman. Bukan kerja mudah.Hendak cari peguam mengendalikan kes di mahkamah memang tidak ada isu.

Saya sendiri boleh bawa kes ini ke mahkamah tetapi yang menjadi hal adalah mengumpul penduduk-penduduk dan peniaga-peniaga yang terkesan.Bukan mudah. Ada yang pada mulanya hendak sama-sama menyaman tetapi tiba-tiba tarik diri. Ada yang memang dari awal tidak mahu terlibat langsung walaupun terkesan.
Ada yang sama-sama menyaman tetapi enggan beri dokumen sokongan membuktikan kerugian. Macam-macam hal.Kes begini, kalau ada NGO atau ketua yang menawar diri untuk menguruskan penduduk atau peniaga-peniaga untuk menyaman sudah cukup cantik.

Kita tubuhkan dua kumpulan, kumpulan pertama yang menguruskan penduduk dan peniaga-peniaga bagi tujuan mendapatkan maklumat, fakta kes dan apa yang relevan. Kumpulan kedua, adalah peguam untuk bawa ke mahkamah.
Kalau kes yang melihat class action atau saman yang melibatkan ratusan Plaintif terhadap satu Defendan ini bukan kerja yang mudah, persediaan kes sangat leceh dan rumit, dan memerlukan kerjasama yang jitu.Kalau hendak teruskan, saya bersedia bekerjasama sebagai penduduk Lembah Klang dalam team peguam untuk kita ambil tindakan, asalkan usaha kita bersama-sama.
Sekian.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.