“Kilang Roti Guna Sumber Air Tandas Untuk Hasilkan Roti”- Kenapa nama kilang ini tidak didedahkan?

Semalam (24 September 2020) kembang tekak membaca berita tentang kilang roti di Jalan Kuchai Lama. Mereka dilaporkan menggunakan sumber air dari tandas untuk menghasilkan roti. Err!

Waktu pemeriksaan lantai premis basah dan kotor, dinding tempat penyediaan makanan berdaki hitam. Terdapat juga kesan najis tikus di kawasan stor peralatan dan bahan mentah di kilang tersebut.
Fuh! Geli.

Iyalah kan, berapa sangat pengusaha roti dekat Malaysia yang ada. Bukanlah ribuan, bimbanglah juga kita, entah-entah roti yang kita selalu beli. Kan?

Ada soalan di messenger saya, kenapa media atau pemberita tidak mahu mendedahkan nama kilang ini? Adakah undang-undang yang menghalang? Beritahulah, supaya kita semua berhati-hati. Betul? Soalan yang amat baik!

Begini, kalau dibahagian media, mereka ada etikanya Ketika menulis. Mereka ada garis panduan sewaktu menulis. Selagi mana tidak dipastikan kesahihan sesuatu atau selagi mana tidak muktamad, seeloknya jangan didedahkan.

Misalnya, ada seorang artis lelaki ditahan polis kerana menyimpan senjata dan mengugut individu. Perasan tak, kebanyakan media akan melaporkan begini. “Seorang artis lelaki terkenal, ditahan kerana menyimpan senjata dan mengugut individu”.

Tidak akan didedahkan siapa artis itu sehinggalah beramai-ramai tentera bawang mendedahkan siapa artis lelaki ini. Barulah dalam surat khabar mempamerkan nama.

Kalau tentera bawang tidak dedahkan, sehinggalah ada kenyataan media dari pihak polis, barulah surat khabar mempamerkan nama. Begitulah kebiasaanya.

Kenapa? Sebab risiko tidak mahu disamanlah! Perlu faham, media ini antara entiti yang paling berisiko di saman kerana kes fitnah. Kita tidak boleh main dedahkan nama orang, melainkan berita itu telah sahih.

Contohnya, biasa lihat tak di dalam akhbar, dibahagian iklan ‘Legal’, ada nama-nama orang yang disaman, ada nama-nama orang yang bakal dibankrapkan oleh syarikat guaman.

Iklan ini, dipamerkan untuk memanggil nama-nama ini hadir ke mahkamah kerana peguam sudah cuba serahkan saman tetapi mereka tidak terima, tidak endahkan atau enggan hadir. Jadi ini adalah cara alternatif untuk memaklumkan tentang saman.

Di dalam setiap notis iklan ini ada nombor kes dan butiran kes. Semua butiran adalah benar dan sahih, memang bukan fitnah langsung.

Memang mereka ini disaman, pun begitu, sebelum nama mereka dipamerkan dalam akhbar, peguam perlu dapatkan Perintah dari mahkamah yang membenarkan nama mereka diiklankan.

Bukan senang-senang kita main petik nama orang. Tambah pula hendak bawa masuk surat khabar atau berita yang bakal dibaca oleh ribuan atau jutaan manusia. Sebab itu, selagi mana tidak ada kesahihan, selalunya media tidak akan mendedahkan nama.

Kita mungkin kata, “Apa pulak fitnah?Kan betul ditangkap? Kan betul masuk lokap sebab simpan senjata” tetapi keputusan masih belum muktamad dan mahkamah tidak putuskan lagi dia bersalah. Baru ditahan reman dan belum tentu lagi artis ini kalah di mahkamah.

Bagaimana kalau sekiranya dia menang kes? Bagaimana sekiranya tiada sabitan? Perbuatan akhbar yang dari awal menjadi punca mendedahkan nama itu boleh disaman. Disaman kerana rosak reputasi dan mengakibatkan kerugian. Sebab itulah perlu berhati-hati.

Jadi perlu faham juga, keadaan bagaimana kita dibenarkan memuat naik nama orang atau entity syarikat. Kita tidak dikatakan memfitnah jika, kita berjaya memberikan pembelaan seperti yang berikut:

Pertama justifikasi atau ulasan saksama, maksudnya begini, kita ulas berdasarkan berita yang berlaku sahaja dan masyarakat semua sedia maklum. Misalnya ulasan kes Farid Kamil yang ditangkap dahulu, satu Malaysia sudah tentang isu ini dan surat khabar hanya melaporkan.

Tidak ditambah dengan elemen tokok tambah atau fiksyen, maka ianya bukan fitnah atau contoh kes Cadbury satu ketika dahulu, berita tersebut telah diviralkan terlebih dahulu dan pemberita hanya melaporkan apa yang telah menjadi viral.

Kedua absolute privilege atau keistimewaan mutlak , iaitu memberikan kenyataan sebagai pihak yang berhak. Misalnya apabila Ketua Polis atau PDRM mendedahkan maklumat suspek dan mempamerkan muka penjenayah yang dikehendaki.

Mereka mempamerkan gambar kerana tugas mereka dan kuasa mereka tetapi bukan semua ya ada keistimewaan ini. Ada sesetengah orang rasa kononnya dia ada keistimewaan mutlak. Yang diiktiraf sahaja!

Ketiga untuk kepentingan awam, kita dedahkan kerana untuk masyarakat berhati-hati dan peka. Pun begitu, perlulah berlandaskan fakta dan ulasan saksama seperti yang saya nyatakan di atas. Tiada tokok tambah atau elemen fiksyen.

Jangan guna ayat-ayat puaka dan fitnah dan viralkan kemudian bagi alasan kononnya untuk memberi peringatan kepada orang awam. Contohnya “Perempuan Sundal, Penipu”.

Ini memang sah sangat boleh dikenakan saman fitnah walaupun sah wanita yang dikatakan banyak dakwaan dan disabitkan kesalahan kerana menipu tetapi perkataan awalan yang digunakan.

Itulah sebabnya kenapa penulisan yang beretika dikalangan pemberita, amat menitik beratkan isu mendedahkan identiti selagi mana tidak sahih.

Pun, begitu saya faham kegusaran kita sebagai pengguna tetapi isu begini elok didedahkan oleh pihak berkuasa yang mempunyai absolute privilege atau keistimewaan mutlak yang dilakukan demi kepentingan awam seperti dari DBKL sendiri misalnya. Barulah pihak pemberita boleh membuat ulasan saksama berdasarkan pendedahan pihak berkuasa tersebut

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: