
Pada 1 Mac 2013 di Hong Kong, Pasangan Chau Wing-ki (65) dan isterinya, Siu Yuet-yee (63) diminta oleh anak bongsu mereka, Henry Chau (28) untuk datang ke rumah rakannya Angus Tse (35), kononnya untuk membantu mengemas rumah tersebut kerana dia baru berpindah.
Di sana, Henry membawa ibu bapanya ke dapur sebelum membunuh mereka. Dia kemudiannya memotong badan ibu bapanya kepada beberapa bahagian sebelum menyimpan mayat mereka di dalam peti sejuk.
Dia juga memberitahu abangnya bahawa ibu bapa mereka telah pergi ke Shenzen.Apabila abangnya mula berasa risau akan ibu bapa mereka yang masih belum pulang dan tidak dapat dihubungi, dia menemani abangnya untuk membuat laporan polis. Mereka juga berusaha untuk mencari ibu bapa mereka.

Selain itu, mereka membuat satu laman Facebook yang dinamakan “My Missing Dad and Mom” dan memuat naik satu video merayu agar orang ramai dapat membantu memberi maklumat tentang ibubapa mereka.
Pada 14 Mac, Henry dipanggil oleh pihak polis untuk membantu siasatan. Semasa soal siasat sedang dijalankan, dia telah menghantar mesej melalui Whatsapp kepada rakan-rakannya. Dalam mesej tersebut dia mengaku yang dia telah membunuh ibu bapanya dan menceritakan bagaimana pembunuhan dilakukan dan mengapa dia melakukannya.

Pihak polis menahan Henry Chau dan rakannya Angus Tse yang turut bersubahat dalam pembunuhan tersebut pada keesokkan harinya. Henry Chau mengaku yang dia telah menikam bapanya di belakang tengkuk manakala rakannya mengelar leher bapanya. Laporan autopsi membuktikan ini adalah sebab kematian.
Carian pihak polis di rumah Angus Tse membawa kepada penemuan kepala kedua-dua ibubapa Henry secara berasingan di dalam 2 peti sejuk bersama bekas makanan dan daging manusia yang telah dimasak menggunakan ketuhar gelombang mikro (microwaves).

Turut ditemui, 3 beg berisi kaki, tangan dan anggota badan lain yang telah diawet menggunakan garam supaya kelihatan seperti daging barbeku. Bahagian-bahagian badan yang tidak ditemui dipercayai telah dimakan.
Menurut Angus Tse dia tidak terlibat dalam pembunuhan itu sebaliknya hanya membantu Henry Chau untuk melupuskan mayat-mayat tersebut sahaja. Henry telah mengugut untuk mencederakan ibu Angus jika dia tidak bekerjasama. Walau bagaimanapun, Henry memberitahu pihak polis bahawa kedua-dua mereka membunuh pasangan Chau bersama-sama.
Siasatan lanjut mendedahkan yang Henry sebenarnya telah merancang pembunuhan tersebut 6 bulan sebelum kejadian berlaku. Bukan itu sahaja, dia turut mencatat nota senarai alatan yang perlu dibeli untuk melaksanakan rancangannya, contohnya, pisau pemotong daging, pisau pemotong buah, tukul, peluntur, periuk nasi elektrik dan sebuah ketuhar gelombar micro (Microwaves).

Dalam nota tersebut turut dinyatakan rancangan yang akan dilaksanakan dengan tajuk Plan B bersama catatan terperinci seperti “memotong kulit” dan “memotong organ”. Terdapat juga catatan berkaitan tentang “cara mengambil darah” dan “mencukur rambut”.
Rancangan seterusnya adalah untuk “membawa mayat-mayat tersebut ke tempat persembunyian” kerana pada fikiran Henry, jika pihak berkuasa tidak menemui mayat ibubapanya maka, mereka tidak akan dapat membuktikan kematian ibu bapanya.
Henry turut menjangkakan dia akan mengambil masa selama 3 hari untuk memotong kesemua bahagian badan yang mungkin mencecah sebanyak 20 bahagian.Menurut Henry, dia benci kepada ibu bapanya dan merasakan segala kegagalan dirinya dalam kehidupan dan cinta adalah disebabkan oleh ibu bapanya.
Dia benci apabila bapanya tidak mahu merendahkan bunyi televisyen apabila dia sedang belajar. Dia juga marah kepada ibunya. Katanya, ibunya memalukan dia dihadapan gadis yang dia disukai. Dia juga menyalahkan ibunya kerana memaksa dirinya belajar piano dan menunjukkan wajah sedih apabila dia gagal menyumbang apa-apa kepada keluarga.

Sebenarnya Henry ada merancang untuk membunuh diri jika dia gagal berjaya sebelum berumur 30 tahun. Apabila dia menceritakan perkara ini kepada Angus. Katanya, Angus meyakinkan dia untuk membunuh orang lain dan bukan dirinya sendiri. Semenjak itu dia berfikir untuk membunuh ibu bapanya.
Dalam rancangan asal Henry, dia akan turut membunuh abangnya kerana selalu memukulnya semasa dia kecil namun tidak melakukannya kerana dia sudah berpuas hati apabila ibu bapanya mati.
30 hari sebelum membunuh ibu bapanya, Henry mendengar sebuah karya muzik daripada komposer bernama Alexander Scriabin yang berasal daripada Rusia secara berterusan. Alunan piano dalam karya bertajuk “Vers la Flamme” ini menguatkan lagi imej api membara dalam fikirannya yang mana dia percaya adalah satu tanda dunia akan tamat.
Hasil ujian yang dibuat oleh Ahli Psikiatrik menujukkan Henry mempunyai masalah Gangguan Bipolar (Bipolar Disorder) dan Gangguan Kompulsif-Obsesif (Obsessive -compulsive Disorder, OCD).
Masalah-masalah yang dihadapi Henry sejak kecil mungkin menjadi pencetus kepada keinginan untuk melakukan pembunuhan ini. Ujian IQ pula mendapati Henry Chau mempunyai IQ setinggi 126 manakala Angus, 84. Oleh itu, ada kemungkinan bahawa Henry telah memanipulasi Angus dan bercadang untuk menyalahkan Angus sebagai pembunuh ibubapanya.

Menurut pihak pendakwa mereka berdua ada berbincang tentang cara-cara untuk melupuskan mayat. Antaranya ialah mencampurkan bahagian-bahagian mayat tersebut dengan simen dan kemudian membuangnya dalam bentuk bata. Rancangan lainnya adalah untuk memasak bahagian-bahagian mayat dan membuangnya ke dalam laut.
Angus Tse terlepas dari dakwaan membunuh namun didapati bersalah atas tuduhan menghalang pengkebumian yang sah (Preventing a Lawful Burial) manakala Henry Chau didapati bersalah melakukan kedua-dua pembunuhan oleh 8 daripada 9 juri.
Angus dipenjarakan selama setahun manakala Henry dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Hakim bagi kes ini iaitu Michael Stuart-Moore berkata, “Henry Chau is always blaming anyone but himself. He is a complete failure in life and soul”.

DISCLAIMER:
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.