Saya baca beberapa keratan berita kes pembunuhan Siti Nur Surya. Sedih baca. Mengenangkan usianya yang masih muda dan masa depan yang masih panjang. Mengenangkan keadaan ibunya yang terlantar sakit.

Payah untuk faham dan susah hendak hadam, apabila pelakunya itu sahabat sendiri.Kadangkala, saya terfikir juga pelaku kes pembunuhan begini, apa agaknya yang difikirkan sewaktu dengan kejamnya meragut nyawa.

Hendak menikam seseorang dengan bertubi-tubi dan mengelar tangan sehingga terputus, bukanlah suatu kerja yang mudah. Masa dan tenaga diambil.

Tidakkah dalam tempoh ini, sedetik pun dia terfikir “Apa aku dah buat ni?”Kegilaan apakah? Entahlah, jadi seram dan takut memikirkan jenayah begini.

Sama juga kes pembunuhan seorang wanita dan anaknya. Tubuh mereka dikerat-kerat dan kepala wanita ini disembunyikan di atas bumbung rumah. Pelaku adalah suami wanita ini.

Saya terfikir, tidakkah langsung timbul rasa belas atau sedetik pun “Apa aku dah buat ni?”. Mungkin juga mereka di mahkamah nanti akan menimbulkan pembelaan tidak siuman.

Pembelaan ini selalu paling popular digunakan di mahkamah bagi kes bunuh kerana berdasarkan Seksyen 84 Kanun Keseksaan iaitu:

‘Nothing is an offence which is done by a person who, at the time of doing it, by reason of unsoundness of mind, is incapable of knowing the nature of the act, or that he is doing what is either wrong or contrary to law’.

Mujurlah di mahkamah, bukan mudah untuk tertuduh mengambil pakai pembelaan tidak siuman ini. Ada beban pembuktian yang perlu dibuktikan.

Kalau semudah itu, saya rasakan tidak adil. Pastinya tertuduh kes bunuh ingin lepas dari hukuman mati, akan memberikan 1001 alasan. ‘Saya tidak ingat’. ‘Saya dengar suara’. ‘Saya tidak tahu apa yang merasuki saya’. Ini barangkali pembelaannya.

Dalam kes Tiong Ing Soon v. PP, [2019] 7 CLJ 341. Perayu iaitu Tiong cuba menggunakan pembelaan tidak siuman. Apa yang berlaku dalam kes ini, si mati memberhentikan motornya kerana ada plastik yang tersekat ditayar hadapan.

Tiba-tiba entah dari mana, Tiong datang menikam si mati bertubi-tubi. Mereka langsung tidak mengenali antara satu sama lain.Tiong dihadapkan ke mahkamah. Dakwanya dia telah mengambil ubat sakit mental selama 20 tahun dan pernah dirawat sebagai pesakit mental.

Dakwanya dia tidak tahu kenapa dia didakwaDr Psikiatri juga dipanggil untuk memberi keterangan. Memang berdasarkan laporan Tiong mengalami “Schizotypal Personality”.

Tetapi Dr Psikiatri tidak bersetuju bahawa orang menghidap “Schizotypal Personality” adalah tidak siuman kerana mereka boleh berfikir secara rasional dan mengawal emosi. Berdasarkan penelitian Dr juga Tiong tidak mengalami masalah psikiatri sewaktu kejadian.

The Borneo Post (4/11/2016)

Keputusan Mahkamah:

‘Mahkamah berpuas hati bahawa atas keseluruhan keterangan bahawa, pada masa kesalahan dilakukan, perayu tidak mengalami apa-apa bentuk kecelaruan fikiran dan dia mengetahui apa yang dilakukan bersifat menentang undang-undang. Pada hakikatnya, kesalahan itu telah dirancang terlebih dahulu’

Pembelaan tak siuman bawah s. 84 KK berkait dengan tanggungjawab perayu dari segi undang-undang pada masa kesalahan yang didakwa dan bukan sama ada dia tidak siuman dari segi perubatan pada masa itu.

Perlu ada dapatan berdasarkan penilaian perubatan bahawa tertuduh mengalami masalah psikiatrik tertentu yang melemahkan kebolehan kognitif pada masa itu yang boleh diklasifikasikan sebagai tidak siuman dari segi perubatan.

Selanjutnya, untuk diterima sebagai tak siuman dari segi undang-undang, mesti ditentukan bahawa akibat masalah psikiatrik itu, tertuduh kehilangan kebolehan kognitif sehingga ke tahap dia tidak boleh mengetahui sifat tindakannya atau apa yang dilakukannya adalah salah atau bertentangan dengan undang-undang.’

Keputusan di mahkamah di atas, saya ambil bulat-bulat secara ‘cut and paste’ supaya anda semua faham bagaimana dapatan mahkamah. Bukan mudah-mudah hendak guna pembelaan tidak siuman.Semoga keluarga arwah mendapat keadilan yang sewajarnya. Semoga mereka diberikan kekuatan.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: