Apakah hukuman yang bakal diterima oleh penjenayah yg membunuh anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand ?

Berita berkenaan gugurnya seorang wira iaitu Koperal Baharuddin Ramli membuat kita semua hiba dan sedih. Paling terkesan, sudah tertentulah ahli keluarga mangsa dan mereka yang mengenali mangsa. Takziah.

Betapa hebatnya Koperal Baharuddin dan rakan setugasnya Koperal Norihan yang cedera dalam kejadian cedera parah semata-mata untuk menjalankan tugas. Kedua-dua mereka telah dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.

Mujurlah semalam (25 November 2020) dilaporkan, 18 orang suspek telah pun ditahan reman dan kini disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Berkaitan dengan kes ini. Semalam saya ada diajukan soalan oleh pembaca. Saya pendekkan soalannya:

“Apakah hukuman yang bakal diterima oleh penjenayah yg membunuh anggota PGA di sempadan Malaysia-Thailand semalam? Kalau warganegara apa tindakan? Kalau bukan warganegara apa yang kerajaan boleh lakukan?”

Bagi kes jenayah sekiranya melibatkan sesuatu perbuatan jenayah, kesemua suspek akan ditahan reman. Dalam proses ini, kesemua suspek akan diambil keterangan, dilakukan kawad cam dan pelbagai lagi prosedur atau siasatan yang perlu untuk melengkapkan siasatan polis.Mereka akan disiasat dibawah Seksyen 302 dan 307 KK.

Kemudian sekiranya siasatan selesai dan setelah mendapat keizinan dari pihak pendakwaan untuk meneruskan perbicaraan di mahkamah. Pertuduhan akan dibacakan dan tertuduh boleh melantik peguam untuk membela diri di mahkamah.

Sepanjang proses di mahkamah, akan ditetapkan bagi tarikh sebutan untuk pengurusan kes dan diakhiri dengan perbicaraan dan kemudian keputusan. Kalau dalam kes jenayah ini ada dua peringkat perbicaraan iaitu peringkat pendakwaan dan peringkat pembelaan.

Jika pendakwa raya berjaya membuktikan kesnya, maka akan diteruskan kepada peringkat pembelaan.Tidak kiralah sama ada tertuduh itu warganegara atau tidak, prosedurnya sama. Hukuman yang dikenakan juga mengikut kesalahan, tiada beza antara warganegara atau tidak.

Soalan pembaca ini membuat saya ingin berkongsi satu kes, kalau kawan-kawan pernah menonton cerita PASKAL. Sebuah filem yang diinspirasikan oleh kejadian sebenar. Masih ingat babak cubaan rampasan kapal oleh warga Somalia dalam filem ini?

Saya ingin berkongsi kes yang direkodkan di mahkamah tentang kes dalam filem PASKAL. Berkenaan isu warganegara, seperti yang saya katakan, sama ada warganegara atau tidak, masih juga disiasat, dibicarakan dan dihukum berdasarkan undang-undang Malaysia.

Prosesnya sama.Saya hendak menulis dari skop yang berbeza untuk kita berkongsi pengetahuan dari perspektif yang lebih luas. Andai kata sekiranya, seorang anggota memburu penjenayah sehingga jauh melepasi sempadan negara dan terkorban sewaktu menjalankan tugas.

Adakah si pembunuh bebas hanya semata-mata, bidang kuasa mahkamah? Kerana jika dikira perbuatannya adalah di kawasan negaranya tetapi mengancam keselamatan negara kita dan membunuh anggota kita.

Bukan kewarganegaraan yang menjadi persoalan tetapi bagaimana sekiranya dalam kesalahan jenayah yang dilakukan di luar Malaysia yang mengancam keselamatan negara. Bolehkah penjenayah ini dibawa pulang dan dibicarakan di Malaysia?

Setakat hari ini, isu bidang kuasa ini tidak dipertikaikan dalam kes kedua-dua wira kita ini. Suspek masih disiasat dibawah Seksyen 302 dan 307 KK. Cuma saya sahaja hendak berkongsi untuk pengetahuan.

Kita semua sedia maklum sekiranya ada kesalahan jenayah yang dilakukan di luar Malaysia, misalnya mengedar dadah di negara lain. Pelaku akan ditangkap, dibicarakan dan dihukum di negera tersebut. Begitulah juga kes kesalahan jenayah yang lain.

Kita lihat dalam kes Kasayah Dhalin Hussein v PP [2012] 9 CLJ 1029. Insiden sebenar yang difilemkan dalam filem PASKAL.

Fakta kes:

Pemohon dalam kes ini bersama 6 warganegara Somalia yang lain telah cuba merampas Kapal Bunga Laurel yang berada di Lautan Hindi, 250 batu nautika dari perairan Oman.

Dengan niat untuk melakukan rompakan dan telah melepaskan tembakan daripada senjata api ke arah pasukan Angkatan Tentera Malaysia dengan niat untuk mendatangkan kematian atau kecederaan.

Mereka kemudian telah ditangkap oleh Pasukan Khas PASKAL. Selepas ditangkap mereka telah dibawa ke Malaysia dan setibanya di Malaysia, mereka telah ditahan semula oleh DSP Shazeli bin Kahar dan kumpulannya pada 31/1/2011 di Pulau Indah, Selangor.

Pemohon dan 6 yang lain diwakili oleh peguam dan yang menjadi pertikaian menurut hujah peguam tertuduh bahawa kes ini tidak boleh didengar di Malaysia kerana isu yang dibangkitkan adalah berkenaan koordinat jenayah yang didakwa dilakukan.

Isu seterusnya bahawa pelakuan jenayah itu di sekitar perairan Oman manakala kes didengar di Malaysia. Dua koordinat yang jauh berbeza.

Oleh yang demikian hujah peguam, ini adalah bertentangan dengan Seksyen 22, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 iaitu berkaitan dengan bidang kuasa jenayah dan sekaligus Mahkamah di Malaysia tidak boleh mendengar dakwaan atau perbicaraan bagi kes ini dan mereka memohon agar segala pertuduhan diketepikan.

Namun demikian, Mahkamah merujuk kepada Seksyen 127A, Kanun Tatacara Jenayah iaitu bagi kesalahan yang dilakukan diluar Malaysia.

Berdasarkan Seksyen 127A(1) ini, terdapat beberapa keadaan yang membolehkan kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia tetapi dibicarakan di Malaysia, apabila perbuatan jenayah itu mengancam keselamatan dan keamanan Malaysia.

Dalam kes ini mahkamah berpendapat bahawa perbuatan melepaskan tembakan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia adalah perbuatan yang mengancam keselamatan dan keamanan Malaysia.

Selanjutnya mahkamah juga berpendapat bahawa selaras dengan Seksyen 127A(1)(d) perlakuan terhadap warganegara Malaysia, walaupun dilakukan diluar negara oleh bukan warganegara selagi mana ianya adalah mengancam keselamatan Malaysia, kes ini boleh didengar di Malaysia.

Oleh itu mahkamah mengenepikan permohonan tertuduh untuk mengenepikan pertuduhan terhadap mereka dibawah Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.Begitulah tentang undang-undang.

Ada banyak prosesnya, tetapi bukan semua jenayah yang dilakukan diluar negara terhadap orang Malaysia boleh didengar di Mahkamah Malaysia. Ini melibatkan isu dan hal keselamatan negara. Ianya berbeza.

Untuk kefahaman lanjut boleh lihat tangkapan skrin Seksyen 127A di atas. Anda boleh lihat situasi lain yang membolehkan pelaku dibicarakan di Malaysia walaupun kesalahan dilakukan di luar negara.

Saya berharap tulisan dapat memberi ilmu dan manfaat kepada kita semua.Takziah kepada keluarga Mendiang Sarjan Baharuddin Ramli. Semoga penjenayah-penjenayah ini mendapat balasan di atas perbuatan mereka.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: