Salah atau tidak merakam video sewaktu polis bertugas?

Aktiviti merakam dan viral telah menjadi kebiasaan sekarang. Secara undang-undangnya salah atau tidak?

Tidak ada undang-undang di Malaysia pun yang tidak membenarkan orang awam merakam video sewaktu kerja pihak berkuasa. Ini juga seperti yang dinyatakan oleh Presiden Majlis Peguam kepada Media tahun lepas. Link.

Tetapi kita semua maklum bahawa terdapat Seksyen 186 Kanun Keseksaan menghalang tugas penjawat awam. Kalau kita lihat banyak video yang dimuatnaik yang polis sedar mereka dirakamkan.

Misalnya video Jufazli ada satu babak “Terima kasih kerana merakam”. Pernah sekali dahulu video rakaman antara polis dan seorang doktor yang berjogging sewaktu PKP 2020. Polis juga sedar video dirakamkan.

Kita lihat bahawa tiada tindakan dari polis-polis ini kerana memang merakam itu bukan menjadi kesalahan. Itu sebab reaksi mereka begitu. Yang menjadi kesalahan adalah menghalang tugasan awam. Dua perkara berbeza.

Misalnya dalam keadaan yang melibatkan kerahsiaan. Bayangkan dalam suatu rampasan dadah oleh polis selepas menahan kenderaan.

Contohnya anda berada ditempat kejadian, anda rakamkan kejadian kejadian dan kelihatan muka suspek dan beberapa perkara lain yang sepatutnya dirahsiakan kerana polis masih dalam tempoh menyiasat untuk mencari ketua atau geng mereka.

Anda viralkan video rampasan, tindakan anda boleh jadi menganggu siasatan dan membocorkan maklumat. Hal sebegini boleh dikira sebagai menggangu tugasan awam.

Hal merakam ini ada baik buruknya. Baiknya mungkin ada bukti. Buruknya mungkin ada melanggar undang-undang tanpa anda sedari.

Ada juga tempat-tempat tertentu telah pun dinyatakan tidak boleh buat rakaman. Misalnya dibank, di dalam kaunter balai polis, di kaunter Imigresen dalam lapangan terbang. Hormatilah.

Begitu juga dari sudut sivil, rakaman yang menganggu privasi seseorang. Kalau tidak ada kebenaran rakaman dari tuan punya badan berkenaan insiden memalukan, silap haribulan anda boleh dikenakan saman sivil.

Gunakan telefon dengan bijak. Gunakan media sosial dengan bijak.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: