Jika ada admin, pasangan atau kekasih yang dikatakan menggunakan akaun media sosial kita dan membuat kenyataan berbaur jenayah atau salah disisi undang-undang, siapa yang salah? Sama ada kita pemilik akaun atau yang menulis itu?

Tulisan ini merujuk kepada situasi semalam terdapat satu muatnaik dari akaun Instagram Datin Noor Kartini yang mempertikaikan titah Sultan Johor.

Susulan itu, dia telah memohon maaf dan membuat laporan polis dan menyatakan bahawa bukan dirinya yang memuat naik status tersebut tetapi kerana kecuaian pekerjanya yang mempunyai akses kepada Instagram miliknya. Saya share link laporan.

Jadi, andai kata situasi ini berlaku kepada kita. Jika ada bekas kekasih, bekas pasangan, ‘rival’ ditempat kerja yang tiba-tiba menggunakan komputer kita di tempat kerja dan memuatnaik sesuatu menghina negara, agama atau bangsa menggunakan akaun media sosial kita untuk mengenakan kita. Kadang-kadang kita ini, mungkin autosaved semua password dalam komputer.

Bagaimana? Siapa salah?

Secara tegasnya, akaun kita, milik kita, liabiliti kita dan ianya merupakan tanggungjawab kita. Oleh itu, beban kesalahannya pada kita. Itu adalah ‘presumption’ atau anggapan dalam situasi begini. Tetap kita salah sebagai penama, melainkan sekiranya kita dapat membuktikan sebaliknya.

Undang-undang berkaitan penama dan pemilik ini jelas. Kita lihat dari sudut pandangan situasi undang-undang lain. Dari sudut jenayah, contohnya kita adalah pemilik kenderaan. Kita jualkan kenderaan kepada kedai terpakai.

Kita serahkan kereta dan tidak ambil tahu status penjualan kerana kita pun dah ada kereta brand new. Tiba-tiba ada laporan polis kereta kita digunakan dalam kes rompakan bersenjata dan semua penjenayah berjaya melarikan diri. Kita memang tidak tahu menahu.

Ikut semakan polis, nama kenderaan masih belum ditukar dan atas nama kita. Memandangkan kita penama, yang bakal ditahan reman dan disiasat itu kita, yang perlu menjawab soalan kita. Melainkan kita sertakan segala surat penyerahan kenderaan dan bukti-bukti. Tetaplah juga kita menghadap proses siasatan dan ditahan.

Begitu juga situasi kes tuntutan sivil, kalau kita benarkan rakan kita memakai kenderaan dan kemudian dia memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Bukan sahaja pemandu yang disaman di mahkamah, pemilik kenderaan yang tiada ditempat kejadian juga disaman atas prinsip undang-undang ‘Vicarious liability’ atau tanggungan vikarius kerana pemilik kenderaan memberi izin dan kawalan di atas kenderaan. Sama-sama kena tanggung bayar ganti rugi.

Sama juga dalam kes yang disebabkan oleh penipuan, kecuaian, kegagalan oleh pekerja. Majikan perlu menanggung kecuaian, kesilapan, kegagalan dan/atau kecuaian pekerja sekiranya dilakukan dalam menjalankan pekerjaan dan/atau waktu bekerja.

Secara asasnya dalam undang-undang, penama kepada akaun media sosial yang akan bertanggungjawab. Akaun kita dan semua orang tahu itu akaun kita. Sebarang tulisan dianggap sebagai tulisan kita.

Di Mahkamah, kalau guna pembelaan ‘saya hanyalah penama dalam kes beli kereta, buat pinjaman bagi, bekas kekasih, bekas tunang, bekas pasangan dan saya langsung tidak merasa walau sesen pun hutang’. Ini semua ini tidak laku kerana atas perjanjian yang tandatangan itu kamu, bukan pihak lain. Penama!

Bukan isu tidak adil tetapi isunya siapa suruh beri nama? Siapa suruh tandatangan perjanjian yang mengikat bayar hutang? Bank ada bukti terhadap penama, duit pinjaman dimasukkan dalam akaun penama.

Jadi berbalik kita kepada isu Datin Kartini ini, secara jelasnya dia adalah penama dan akaun adalah miliknya maka secara asasnya atau anggapannya dia bertanggungjawab.

Bagaimana sekiranya dia meletakkan beban kepada pekerja yang ditugaskan menjaga akaun IG? Saya faham, ramai selebriti, VIP, ahli politik yang menggunakan admin untuk menguruskan akaun media sosial mereka untuk kekal aktif dan ada content. Mungkin kerana jadual kerja yang sibuk.

Jadi dia adalah majikan dan kita patah balik kepada prinsip undang-undang tanggungan vikarius. Sebagai majikan perlu memantau dan bertanggungjawab penuh.

Hal-hal begini berat kerana ‘influencer’ mempunyai ramai pengikut dan setiap tulisan akan disampaikan kepada ratusan ribu atau jutaan orang. Jadi impaknya sangat besar. Berbeza dengan pemilik akaun lain yang penyampaiannya minimum.

Saya selit sedikit nasihat kepada pemilik perniagaan yang mempunyai akaun media sosial yang dijaga oleh admin. Pastikan setiap admin yang menguruskan akaun media sosial menandatangani perjanjian Non-Disclosure Agreement bagi tujuan kerahsiaan.

Jangan lupa juga perjanjian atau dokumen yang mengesahkan admin ada akses dan kawalan kepada akaun. Nyatakan juga waktu akses dan kawalan akaun. Sekiranya berlaku sesuatu isu seperti penipuan, tulisan kebencian atau apa-apa sahaja, admin juga akan bertanggungjawab secara bersama.

Saya pesan ini kerana banyak juga kes berlaku, admin salah tadbir akaun dan cabut lari. Jadi pemilik akaun perlu hati-hati. Apa-apa pun, kita pemilik akaun yang bertanggungjawab. Cantik jika ada dokumen mengesahkan.

Undang-undang itu jelas. Jika kita ada pembelaan, bagus. Isu mengurus dan mentadbir akaun ini bukan boleh dipandang ringan jadi jangan semberangan serahkan akses atau kawalan kepada orang.

Terutama sekali akaun peribadi. Bayangkan, anda ada ratusan ribu pengikut di media sosial dan anda sangat dikenali. Setiap tindak tanduk diperhatikan. Tersalah tulis, tersalah laku. Semuanya jadi perhatian.

Jika dibuatnya orang yang kita berikan hendak kenakan kita, menulis menghina agama, menghina sultan dan memuatnaik gambar lucah. Memang anda boleh minta pihak berkuasa block tetapi ambil masa. Hendak rosakkan akaun orang beberapa minit pun cukup.

Kita boleh beri pembelaan dan alasan, kita juga mungkin boleh di mahkamah dengan mengemukakan hujah dan bukti tetapi belum tentu boleh menang di ‘court of public opinion’. Hidup dengan kebencian dan makian orang ini berat. Hati tidak tenang.

Kesimpulannya, jika kita pemilik atau penama ,kita bertanggungjawab. Jadi berhati-hatilah dalam segala situasi yang saya sebutkan di atas.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: