Amalan ‘spotcheck’ pelajar datang bulan di sekolah.

Menjawab kepada persoalan ini, Mufti Pulau Pinang, Pakar dari Fakulti Perubatan UKM serta NGO yang memberikan komen tidak bersetuju dan menyatakan bahawa praktis ini salah dan tidak wajar.

Saya setuju dengan pendapat mereka. Hairannya, ada juga yang membela amalan ini dalam ruangan komen kerana ada yang berpendapat bahawa dapat mendidik dan mencegah pelajar dari berbohong untuk mengelak bersolat. Hal ini sudah hangat diperkatakan di Twitter.

Melalui satu blog yang saya kongsikan di ruang komen, kaedah ‘spotcheck’ ini termasuklah guru, warden asrama dan pengawas akan meminta pelajar perempuan menunjukkan kesan darah pada tuala wanita, melakukan calitan pada alat sulit dengan kapas, tisu atau jari mereka untuk membuktikan mereka tidak boleh bersolat jemaah kerana mengalami haid.

Malahan, pelajar juga diraba di bahagian alat sulit untuk mengetahui sama ada mereka memakai tuala wanita.

Kalau beginilah cara memeriksa untuk mendapatkan kesahihan. Ini adalah merupakan kesalahan, kalau sebelum ini pandangan Mufti dari sudut agama dan juga pakar dari sudut wajar atau tidak.

Jadi saya pula hendak berkongsi pendapat saya dari segi undang-undang dan saya bincangkan kepada skop yang lebih luas kerana wujudnya amalan begini adalah pembuktian betapa segelintir masyarakat tidak peka bahawa skop kesalahan atau jenayah seksual itu lebih luas daripada yang kita sangkakan.

Walaupun yang ditugaskan untuk memeriksa secara meraba atau melakukan calitan sesama jantina adalah sesama jantina, masih merupakan kesalahan.

Meraba dan melakukan perbuatan yang boleh mencemarkan kesucian seseorang sama ada sama jantina adalah merupakan kesalahan. Pesan kepada anak-anak supaya mereka tahu berkenaan hal ini. Jangan ingat sesama jantina itu, semuanya Okay!

Contohnya kalau disekolah ada anak perempuan dibuli dan diraba buah dada oleh pelajar perempuan lain, ini adalah jenayah seksual. Jangan salah faham, sama-sama perempuan boleh meraba alat kemaluan.

Memang di Malaysia ini, wanita tidak boleh dikatakan melakukan kesalahan jenayah rogol kerana elemen bagi kesalahan rogol telah jelas dalam Kanun Keseksaan tetapi wanita masih boleh disabitkan dengan kesalahan gangguan seksual atau mencabul.

Saya tidak mahu, viral tentang amalan ‘spotcheck’ sehingga melibatkan memeriksa kemaluan ini dianggap biasa kerana yang memeriksa cikgu atau pun sama-sama jantina.

Sama-sama jantina pun tidak boleh meraba secara paksa. Begitu juga, siapa kata seorang perempuan tidak boleh mencabul lelaki?

Contohnya di sekolah, jika ada pelajar perempuan yang lebih senior memegang kemaluan anak lelaki dan meraba-raba. Ini adalah kesalahan jenayah! Ambil tindakan.

Cara budak lelaki berkawan mungkin tidak sama dengan cara budak perempuan. Anak perempuan jangan silap sangka, apabila sesama perempuan itu salam peluk-peluk, cium kiri kanan. Kalau bersedih berpelukan. Kadang-kadang main sikat rambut. Mesra bila bergaul. Bagaimana rapat sekalipun tetap ada batasannya.

Anak-anak kita perlu tahu mempertahankan hak mereka. Bahagian kemaluan adalah sangat sulit dan tidak boleh dicerobohi, tidak kira oleh sesiapa pun.

Dalam Kanun Keseksaan kesalahan seksual bukan sahaja rogol tetapi juga ada cabul dan gangguan seksual, ada beberapa seksyen yang memperuntukkan kesalahan begini. Berdasarkan elemen tidak semestinya pesalahnya mesti lelaki sahaja.

Kalau tujuan ‘spotcheck’ adalah hendak mendidik jangan menipu dan perlu solat. Guna kaedah lain jika hendak mendidik, tekankan kepada hukum berdosa menipu, hukum berdosa tidak solat. Terutamanya tekankan kepada pentingnya solat.

Memaksa mereka dengan cara ‘spotcheck’ dengan cara yang memalukan pelajar memang tidak patut.

Sumber: The Herald

Perbuatan begitu adalah kesalahan dan pencerobohan kepada tubuh badan dan boleh memberikan gambaran yang salah bahawa bagi tujuan memeriksa, seseorang itu boleh diraba atau tubuhnya diceroboh.

Jika disekolah juga, sebenarnya banyak kes yang dilaporkan di mahkamah tentang isu jenayah seksual terhadap murid-murid. Guru-guru memang perlu tahu batasannya.

Dalam kes ZULKIFLI BIN HASHIM v PP [2017] 1 LNS 1768 seorang guru telah didapati bersalah kerana mencabul anak muridnya.

Dakwaan asal adalah guru inj meraba ketiak dan memegang buah dada. Kemudian, disahkan perbuatannya memegang dan mengosok ketiak.

Ini petikan daripada laporan asal mahkamah:

[21] Mahkamah ini berpendapat apabila diteliti keterangan mangsa secara keseluruhannya, perayu telah melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa apabila beliau memegang dan mengosok bawah ketiak kanan mangsa. Perlakuan ini dilakukan tanpa kerelaan mangsa yang ketika itu berusia 12 tahun. Mahkamah ini juga menimbangkan tindakan mangsa yang “berteriak” sebaik perayu mencabul kehormatan mangsa.

Akhirnya mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 2 tahun dan denda RM2,000. Mahkamah juga menyentuh bahawa di bawah

Seksyen 354, tidak dinyatakan jenis perbuatan mencabul itu tetapi berbeza mengikut fakta kes.

Memetik laporan mahkamah lagi

“Perayu ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai seorang guru dan tiada alasan yang munasabah untuk perayu bertindak sedemikian ke atas mangsa merupakan anak muridnya”.

Nampak, bagaimana undang-undang memandang serius kesalahan jenayah seksual.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: