Posting saya, berkenaan kanak-kanak yang dicabul oleh sepupunya.

Dalam kes ini kanak-kanak ini menggunakan istilah ‘bunga’ bagi merujuk kepada kemaluannya.

Persoalan, adakah istilah seperti bunga begini diterima di mahkamah sebagai satu pembuktian berlakunya kes jenayah seksual?

Pastinya penggunaan istilah ini berbeza mengikut ibu bapa. Rata-rata di zaman moden ini ramai ibu bapa menggunakan istilah sebenar seperti faraj, vagina, zakar atau penis. Penggunaan begini lebih jelas dan membawa maksud sebenar. Saya juga mengajar anak istilah ini.

Dalam tulisan saya semalam yang merujuk kepada kes Ahmad Hafizal bin Darusalam lwn Pendakwa Raya [2019] MLJU 830 sepanjang perbicaraan memang digunakan perkataan bunga merujuk kepada faraj.

Misalnya soalan peguam:

Saya cadangkan bahawa abang Fizal tak pernah sentuh bunga kamu dan kamu cuma salah faham bahawa abang Fizal sentuh bunga kamu?

Jawapan:

Tak.

Mahkamah menerima pakai perkataan bunga ini menggantikan faraj, mengambil kira umur saksi dan saksi tahu bahawa bunga yang dirujuk adalah faraj.

Mengambil keterangan saksi kanak-kanak di mahkamah, ada prosedur dan syaratnya juga kerana kanak-kanak ini berbeza pemahamannya mengikut peringkat umur.

Jika umur 4 tahun berbanding dengan 10 tahun, pasti 10 tahun itu lebih faham. Tidak kira peringkat umur, keterangan kanak-kanak digunapakai di mahkamah selaras dengan Akta Keterangan 1950 selagi mana kanak-kanak itu boleh menunjukkan dia faham dan tahu tentang perkara yang disampaikan.

Berdasarkan Seksyen 133A akta ini, jika kanak-kanak tidak faham kesan angkat sumpah sebelum memberi keterangan,

jadi dia tidak perlu mengangkat sumpah dan keterangan yang diberikan oleh kanak-kanak boleh diambil secara bertulis dan dibacakan semula kepadanya sewaktu perbicaraan dan dihadapan tertuduh.

Jika dia faham kesan angkat sumpah, kesan menipu, jadi dia bakal mengangkat sumpah dan memberikan keterangan di mahkamah.

Semuanya berdasarkan penilaian dan sekiranya mahkamah berpuas hati, kanak-kanak ini sesuai memberikan keterangan, mahkamah akan mengarahkan kanak-kanak ini memberi keterangan.

Dalam menilai istilah, sama ada bunga, roti, nasi lemak atau apa sahaja istilah yang akan dihujahkan di mahkamah sebenarnya merujuk kepada organ seksual. Mahkamah juga tahu dan boleh menilai maksud sebenar rujukan ini, jika sekalipun peguam pembela cuba memberi definisi yang berbeza.

Cumanya bayangkan jika mangsa kanak-kanak itu berusia 3 tahun atau 4 tahun. Sukar juga jika bunga itu sebenarnya faraj dan bunga juga memberi erti kata yang lain. Jika ditanya soalan lain, pasti juga bakal keliru.

Tambah pula melibatkan organ seksual dan perbuatan seksual, bimbang nanti timbul kekeliruan. Sebab itu sebaiknya elok diajar, istilah sebenar supaya tidak mengelirukan dan tidak memberi impak kepada siasatan kes.

Walaupun mahkamah bakal menilai maksud, keterangan saksi dari mangsa, ibu bapa mangsa, pakar perubatan dan istilah sesuatu itu mungkin hanya jadi sebahagian dari keterangan kes tetapi pastinya kita tidak mahu sekiranya isu-isu kecil begini menimbulkan kekeliruan.

Oleh itu, sebaiknya ajarkan anak-anak istilah yang sebenar. Pada pandangan saya juga, penggunaan istilah eksklusif seperti faraj atau zakar dan bukan bunga memberikan gambaran yang tegas dan tidak ada definisi lain. Lebih nampak serius.

Saya kongsikan poster rakan FB , Inche Faris sebagai usaha menyokong mempertingkatkan kesedaran dikalangan ibu bapa dan anak-anak berkenaan isu jenayah seksual.

%d bloggers like this: