Seperti yang dilaporkan pihak polis kini membuka kertas siasatan terhadap seorang pemilik akaun Facebook (FB), mengenai isu Nilai 3 terletak di negeri Selangor, semalam (23 Mei 2021). Laporan lanjut, di link.

Saya membaca ‘jenaka’ Nilai-Selangor ini sejak semalam. Secara peribadi, saya tidaklah menganggap serius kerana menganggap hanya gurauan. Jenaka, gurauan, parodi ini diekspresi dengan pelbagai cara. Terutama di zaman teknologi ini.

Apabila ada waktu, kadang-kadang saya pun menonton video-video DD Chronicle. Lakonan bersahaja dan lucu, menyentuh isu semasa dan kadangkala sempat dia menasihati. Semua lakonannya hanyalah parodi.

Jadi sebenarnya buat parodi ini salah atau tidak? Tidak boleh bergurau langsungkah? Kita lihat, contoh kes yang telah dibawa ke mahkamah kerana penulisan di internet, supaya kita faham garis panduan dalam menulis.

Dalam kes MOHD FAHMI REZA MOHD ZARIN lwn. PP [2019] 1 LNS 120, Fahmi Reza iaitu (selepas ini dirujuk sebagai Perayu) telah memuatnaik satu hantaran yang kononnya amaran dari SKMM dengan tajuk “Henti Sebar Gambar Mengaibkankan Pemimpin Negara” dengan wajah DS Najib berupa badut.

Perayu didakwa dan dipertuduhkan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) kerana secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya.

Dalam kes Perayu ini, ada tiga elemen yang perlu dibuktikan oleh pendakwaraya bagi membuktikan Parayu bersalah iaitu 1) Perayu telah menggunakan profil FB untuk memuatnaik status/komunikasi 2) Status itu adalah palsu 3) Status itu menyakitkan hati orang lain.

Antara hujah yang digunakan oleh Perayu adalah berkenaan sifat palsu. Tambah Perayu lagi ianya notis amaran ini, yang mengambil bentuk parodi notis MCMC sebagai satu kritikan terhadap pihak berkuasa.

Menurut Perayu, parodi adalah adalah sesuatu karya yang meniru sesuatu karya lain untuk tujuan satira politik, mengimitasi stail, design dan rupa bentuk sesuatu karya lain dengan mengubah sesuatu elemen daripada karya yang asal, atau menokok- tambah sesuatu elemen dari karya asal dengan suntikan humor dan juga ironi, bertujuan untuk menyampaikan sesuatu mesej.

Mahkamah ini memutuskan komunikasi itu adalah suatu karya ekspresi seni tetapi disebabkan sifatnya yang menyakitkan hati orang lain, maka ia tidak berhak untuk ditampakkan oleh Perayu kepada khalayak tanpa saksi undang-undang dan ia tidak dilindungi oleh peruntukan berkaitan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bermaksud, Mahkamah menerima apabila Fahmi Reza menyatakan bahawa karyanya itu ekspresi seni, namun ianya bersifat menyakitkan hati orang lain. Dalam berkarya, sewaktu menulis atau menyampaikan sesuatu, kita perlu sentiasa beringat janganlah sifatnya itu yang menyakitkan hati orang lain.

Dalam kes ini, Perayu telah merayu di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman satu (1) bulan penjara DAN denda RM30,000.00.

Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dengan menggantikan hukuman kepada dengan hukuman denda RM10,000.00, jika tidak bayar satu (1) bulan penjara.

Pun begitu, tindakan polis masih dalam peringkat siasatan dan baru memanggil memberi keterangan. Semoga individu yang menulis itu diwakili peguam untuk membelanya dan mempertahankan tentang kebebasan bersuara “Freedom of Speech” bahawa dia bergurau dalam menulis.

Saya tahu tulisan Nilai-Selangor itu gurauan dan ramai juga tahu. Kita bukanlah tidak bijak sehingga kita lupa sempadan negeri dan segala gurauan ini sebenarnya adalah berbentuk sinis atau ‘sarcasm’.

Tulisan saya ini, hanya sebagai panduan supaya kita sentiasa berhati-hati. Manalah tahu dalam kita bergurau, ada undang-undang yang kita langgar dan kita tidak sedar ada.

Berpunca dari pengingkaran pasangan ini, membawa kepada siasatan demi siasatan, pendakwaan demi pendakwaan, denda demi denda.

Kalau boleh dilanjutkan juga tindakan, setiap kali pasangan ini atau influencer yang lain yang memuatnaik status pelanggaran SOP jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, atau mengganggu orang lain selaras dengan Seksyen 233 ini.

Status mereka itu jelik dan ramai yang sakit hati, tambah pula menganiaya dan menganggu orang lain yang mematuhi SOP sentiasa dan menyakitkan hati juga kerana kes kian meningkat, kematian makin meningkat tetapi mereka tidak makan saman dan langgar pula SOP.

Kita pula berhati-hatilah, jangan kerana pasangan ini kita pula yang dikatakan melanggar undang-undang kerana menulis sesuatu. Kita jaga kita.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: