Tolong ajar anak-anak bersuara dan mengadu dan ajar mereka mempertahankan hak sejak dari usia kecil.

Saya terbaca laporan berita tentang seorang kanak-kanak 7 tahun yang dicabul oleh suami pengasuh. Kejadian berlaku sejak Januari jadi baru diadukan pada ibunya.

Saya rujuk kepada kes Ahmad Hafizal bin Darusalam lwn Pendakwa Raya [2019] MLJU 830, yang dilaporkan di mahkamah supaya kalian tahu betapa pentingnya ajar anak-anak mengadu.

Dalam kes ini, mangsa seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun. Pada 8/12/2017 Mangsa dan keluarga bertolak ke Kampar Perak untuk menghadiri majlis kenduri kahwin saudara dengan menaiki kereta Nissan X-Trail.

Dalam kereta ada ibu, bapa dan 3 orang adiknya. Mereka bertolak dari Seremban dan dalam perjalanan mereka menjemput tertuduh (OKT) iaitu sepupu mangsa, iaitu anak saudara sebelah bapa.

Semasa dalam perjalanan mangsa duduk atas riba OKT. Ibu bapanya mereka di kerusi pemandu dan penumpang. Kejadian antara jam 10 malam hingga 1 pagi. Malam dan gelap.

Mangsa telah tertidur. Selepas itu, mangsa dapat merasakan OKT telah memasukkan tangan OKT ke dalam seluar mangsa. Mangsa merasa sakit. OKT telah mengeluarkan tangannya daripada seluar mangsa ketika kereta bapa mangsa berhenti di Stesyen Minyak.

Bayangkan?? Perbuatan ini dalam satu kereta tatkala si bapa dan si ibu dihadapan. Bayangkan betapa jahatnya sepupu ini. Mengambil kesempatan ke atas anak kecil ini. Dalam gelap tanpa rasa belas. OKT adalah orang dewasa.

Sambung perjalanan OKT telah mengambil tangan mangsa dan memasukkan ke dalam seluar OKT. Mangsa cuba untuk keluarkan tangannya tetapi tidak dapat keluarkan kerana perayu telah mengetatkan seluar perayu.

Sepanjang perjalanan, mangsa takut untuk menjerit. Saya tidak boleh bayangkan! Sepanjang saya baca laporan ini, rasa ingin penumbuk tertuduh.

Kereta yang dipandu berhenti di Hentian Lebuhraya. Mangsa dan ibunya turun. Ketika di tandas, si ibu mendapati mangsa mengambil masa yang agak lama dalam tandas dan menunggu mangsa di luar tandas.

Apabila mangsa keluar dari tandas, si ibu telah melihat mangsa berjalan seperti terkangkang sedikit dan memegang di bahagian kemaluannya sambil menariknarik seluarnya.

Si ibu bertanya dan mangsa menceritakan perbuatan OKT. Ibu mangsa terdiam dan tidak memaklumkan kepada si bapa. Kemudian sewaktu tiba di homestay baru dimaklumkan.

Si bapa minta agar memutuskan untuk menghadiri kenduri dahulu dan kemudian menghantar OKT pulang semula ke Seremban.

Kemudian si ibu telah meminta si bapa membuat pemeriksaan perubatan di hospital. Si bapa minta berbincang dengan keluarga dahulu. Berjumpa datuk dan nenek dan kemudian ibu bapa OKT.

Hanya pada 15/12/2017 ibu bapa telah membawa anak mereka ke hospital untuk pemeriksaan perubatan dan membuat laporan polis.

Hasil dari siasatan, didapati bahawa terdapat kesan koyakan di kemaluan mangsa dan kes OKT dihadapkan di mahkamah. OKT tidak mengakui perbuatannya dan peguambela OKT mencabar keterangan mangsa.

Antara soalan yang ditanyakan kepada mangsa.

Soalan:

Saya cadangkan, sebenarnya berkenaan abang Fizal sentuh bunga, mama kamu yang minta kamu cerita macam tu?

Mangsa:

Tak sebab saya yang mangsa, saya yang cerita. Mama cakap cerita yang sebenar.

Mangsa dicabar bahawa dia diajar oleh ibunya. Mangsa juga dicabar bahawa sebenarnya dia menyangkakan sebenarnya sepupunya menyentuh ‘bunga’nya dan dia salah faham. Dicadangkan kejadian tidak pernah berlaku.

Dalam kes ini, perkataan bunga yang dirujuk oleh mangsa bermaksud kemaluan. Perkataan ini diterima pakai. Mangsa juga diberikan anak patung untuk ditunjukkan contoh perbuatan OKT.

Memandangkan mangsa adalah kanak-kanak, hakim bicara telah menjalankan ujian kefahaman selaras dengan Akta Keterangan 1950 bagi menentukan sama ada mangsa layak memberi keterangan secara bersumpah .

Hakim bicara mendapati mangsa memahami maksud sumpah dan memahami kewajipan bercakap benar serta kesannya. Mahkamah berpendapat mangsa adalah saksi yang credible dan keterangan mangsa boleh diterima.

Walaupun tertuduh menafikannya, tertuduh akhirnya dihukum 12 tahun penjara dan 4 sebatan. Ambil kisah ini sebagai iktibar. Banyak pengajarannya, perbuatan anak saudara sendiri, dihadapan ibu bapa.

Saya harap, kita ajarkan anak-anak kita jangan berdiam diri. Sayangnya saya rasakan, jika mangsa dalam kes ini boleh menjerit kerana ibu bapa ada di tempat duduk hadapan.

Saya harap, jangan kita biarkan anak-anak kita semakin dewasa terlalu akrab sehingga bersentuhan dan meriba sesama adik-beradik atau saudara-mara, lelaki dengan perempuan. Perlu ada batas dan jika berlaku dihadapan kita, kita menegah.

Saya harap, kita ajar bahawa kemaluan adalah satu bahagian yang sangat sulit. Jika ada yang ambil kesempatan, jerit, tolak, tampar dan adukan. Tolong adukan. Tolong bersuara.

Saya harap, kita ajarkan pada anak kita perbuatan menyentuh, meraba dan mencabul adalah jenayah seksual. Pelaku akan dihukum. Jangan takut! Adukan. Jika diugut juga jangan takut. Ada hukuman menanti.

Selalulah kita berpesan-pesan dan mengajar anak-anak kita. Bimbang jika tanpa kita sangkakan. Dihadapan mata kita sendiri boleh terjadi hal.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: