Kesalahan Mengantung Bendera Putih?

Kesalahan mengantung bendera putih?

Benarkah ianya merupakan kesalahan menaikkan bendera putih bagi menandakan sesebuah keluarga itu memerlukan bantuan?

Kebelakangan ini, beberapa individu atau keluarga yang terkesan dari segi kewangan oleh perlaksanaan PKP dan juga penularan Covid-19 telah menggunakan inisiatif menaikkan bendera putih.

Sebagai lambang bahawa mereka memerlukan bantuan untuk mendapatkan bantuan kewangan dari masyarakat sekeliling. Gerakan ini semakin menjadi ikutan di serata negeri.

Namun dilaporkan dalam Sinar Harian, di Kuantan tindakan beberapa penduduk menaikkan bendera putih untuk meminta bantuan diarah diturunkan pada Rabu oleh pihak berkuasa.

Tindakan penduduk itu dikatakan satu kesalahan dan saman boleh dikeluarkan jika bendera yang dipasang gagal diturunkan.

Berdasarkan Free Malaysia Today, pihak polis menafikan ada mengugut penduduk yang menaikkan bendera putih dengan tindakan saman.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf menjelaskan, terdapat penduduk di kawasan itu yang menaikkan bendera putih pada tempat awam iaitu di tiang elektrik dan disifatkan tidak sesuai.

Alasan dan hujah ini, pada pendapat saya, ada asasnya kerana dalam undang-undang adalah merupakan kesalahan sekiranya menampal, mengantungkan sesuatu pada tiang elektrik.

Memandangkan telah timbul isu ini, elok saya sentuh sedikit kerana rata-rata nampak tidak peka dengan kesalahan ini terutama sewaktu kempen pilihanraya, bukan main meriah tiang-tiang elektrik seperti hiasan pokok krismas.

Tidak kurang juga tiang elektrik itu jugalah, dijadikan papan iklan oleh pemberi pinjam wang berlesen, penjual ubat kuat, papan pemberitahuan majlis perkahwinan yang bakal diadakan.

Betapa kreatifnya sesetengah pihak menjadikan tiang elektrik ini lebih dari fungsi yang sepatutnya. Hal begini mengundang bahaya.

Pada tahun 2018, satu kemalangan elektrik mencederakan 4 orang mangsa kerana renjatan elektrik sewaktu memasang tiang bendera parti politik di negeri Johor.

Di bawah Seksyen 37 (10) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) memperuntukkan mana-mana orang yang tanpa keizinan sah daripada pihak berkuasa bekalan melekatkan bil, notis atau apa-apa kertas tiang atau pendakap adalah melakukan kesalahan. Sabit kesalahan denda tidak melebihi RM25,000 (sebelum pindaan adalah RM1,000 selepas pindaan, jumlah ini ditingkatkan)

Jadi sekiranya perbuatan mengantungkan bendera putih itu adalah merupakan kesalahan berdasar Seksyen 37 (10) ini, maka ianya wajar jika pihak polis memberi amaran kepada keluarga yang menaikkan bendera putih ini.

Tetapi ada juga keluarga melaporkan, mereka diarahkan menurunkan bendera putih yang digantungkan di rumah sendiri. Sekiranya kesalahan itu, dikatakan hanya semata-mata pihak berkuasa tidak senang. Pada pendapat saya ianya tidak wajar, melainkan ada dijelaskan Seksyen dan Akta Kesalahan mana?

Jika ada kesalahan dan ada peruntukkan, jelaskan pada orang awam. “Encik tidak boleh gantung bendera ini kerana ianya merupakan kesalahan dibawah…sekian dan sekian..”.

Bukan kita tidak faham dan tidak faham dan hormat undang-undang, cumanya jika tidak dinyatakan, timbul rasa ketidak adilan.

Di zaman orang mulai peka dengan undang-undang dan kita tahu hak masing-masing, ramai yang tidak senang dan tidak suka jika dimomokan atau ditakutkan dengan undang-undang oleh semata-mata penguatkuasa berpakaian seragam.

Perlu jelaskan. Pernah saya mewakili anak guam saya dahulu, semuanya telah kami patuhi tetapi tiba-tiba masih juga pegawai tidak mahu bagi kerjasama dan menekan-nekan tentang kesalahan. Denda telah pun dibayar.

Saya minta bercakap dengan pegawai penjara, mula-mula dia mengelak hendak bercakap dengan saya. Kemudian saya maklumkan, jika masih tiada kerjasama terpaksa saya adukan hal ini dan saya akan masukkan permohonan bagi Habeas Corpus. Baru dia hendak berbincang.

Dia jelaskan, walapun telah selesai bayar denda tetap mahu menahan anak guam saya. Walhal telah tiada kesalahan lain. Ini dikira penahanan secara salah dan anak guam saya seorang pelajar berbangsa asing yang masih belajar di kolej di Malaysia.

“Begini Puan ya. Kalau puan maklumkan Seksyen apa dan Akta apa dan jika benar itu peruntukkannya. Puan maklumkan pada saya sebab penjelasan puan ini kata salah dan salah, sedangkan tiada dalam Akta, tidak boleh puan”.

Dia cuba petik satu seksyen dan akta. Saya minta dia tunggu sebentar. Saya buka melalui telefon, menyemak Akta dan Seksyen yang dimaklumkan melalui akaun online bagi carian Akta.

Saya bacakan Seksyen yang dia nyatakan kononnya dia rujuk sebagai kesalahan. Saya tidak mahu bertekak, saya lakukan dengan berhemah walaupun suaranya dibalik telefon semakin kelat kerana cuba mengelakkan diri dari saya.

Dia sampai sudah tidak mahu bersua muka, hanya mahu bercakap melalui telefon kakitangan sahaja. Saya bacakan satu persatu ayat Seksyen yang dinyatakan.

Memang jelas, tidak dinyatakan langsung yang kononnya dikatakan kesalahan itu. Barangkali dia main petik dan dia tidak sangka saya periksa. Akhirnya dia akur.

Tiada kesalahan dan dia salah. Jadi dia beri kerjasama dan melepaskan anak guam saya.

Berkali-kali saya sebut, kita semua ada hak. Tiada orang boleh sewenang-wenangnya menggunakan kuasa dan melakukan sesuka hati walaupun pihak berkuasa. Undang-undang ini bukan rekaan, ada peruntukkan dan kesalahan. Kita ada undang-undang, pihak berkuasa juga perlu ikut undang-undang. Kedaulatan undang-undang.

Baru-baru ini apabila Mahkamah memutuskan bayaran ganti rugi sebanyak RM1.5 juta kepada keluarga tiga remaja yang mati ditembak anggota polis hampir 11 tahun lalu.

Keputusan ini membuktikan bahawa jika polis sendiri telah menyalahgunakan kuasa atau melampaui bidang kuasanya adalah kesalahan dan mahkamah tidak mengira pakaian seragam sebagai alasan untuk menyalahgunakan kuasa. Semua kita ada hak.

Jadi, jika benar ada kesalahan, nyatakan Seksyen kesalahan dan Akta yang mana, supaya kita tahu kesalahan. Majoriti kita ini, sentiasa hormat dan patuhi undang-undang. Cuma hendak tahu kesalahan yang mana dan kita patuhi.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: