Beberapa hari ini, masih berlegar-legar lagi isu berkenaan dengan lawak rogol.
Saya mahu berkongsi tentang satu kisah rogol yang sejak saya terbaca, sukar hendak saya padamkan dari minda walaupun telah bertahun-tahun lamanya terjadi.
Sangat menyayat hati, barangkali kerana masih terbayang-bayang bagaimana kecewanya, wajah bapa mendiang Chee Gaik Yap selepas mendapat tahu perogol dan pembunuh anaknya bakal dibebaskan oleh mahkamah.

Bapa Chee Gaik Yap tidak mahu lagi hidup selepas keputusan mahkamah dibacakan. Biarlah dia terjun dan mati dari bangunan mahkamah, barangkali dapat melenyapkan rasa kedukaan dihati selepas anaknya pergi dengan cara yang sangat kejam tetapi tiada pembelaan.
Dia menangis tanpa henti, dia dihalang dan ditenangkan oleh wartawan-wartawan di sana.

Betapa harapan saya, tidak ada satu manusia pun merasakan kekecewaan dan kedukaan seperti ibu dan bapa Chee Gaik Yap mahupun ibu bapa Suzaily Mukhtar, Canny Ong, Audrey Melissa dan mereka-mereka yang dirogol dan bunuh kerana nafsu celaka seorang manusia.
Remuk dan hancurlah hati ibu bapa ini mengenangkan anak yang mereka saya, diperlakukan sedemikian rupa dan tiadalah langsung daya hendak menyelamatkan anak yang tersayang dari tangan manusia durjana.
Bapa Chee Gaik Yap adalah seorang tukang kayu dan mempunyai 6 orang anak. Gaik Yap, satu-satu anaknya yang ke Universiti. Gaik Yap sepatutnya akan dihantarkan ke German untuk berkursus.
Namun malang yang menimpa keluarga ini. Kisahnya satu petang pada 2006, adik Gaik Yap mengajaknya berjoging di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.

Sewaktu berjoging Gaik Yap mendahului adiknya dan kemudian kelibatnya hilang dari pandangan. Waktu itu adik Gaik Yap, lihat ada kereta Naza berwarna hitam yang melintasi adiknya dan beredar. Tiba-tiba kereta yang sama berpatah balik semula dan meluncur laju.
Siapalah sangka sebenarnya Gaik Yap telah dibawa lari oleh kereta Naza itu. Adiknya yang tidak tahu, menyangkakan Gaik Yap masih dihadapan tetapi masih tidak berjumpa tetapi yang dijumpai hanyalah getah rambut dan kasut Gaik Yap yang banyak kesan darah.
Apalah agaknya yang berlaku pada Gaik Yap?
Mayat Gaik Yap kemudian ditemui mati dalam keadaan terlentang diluar Kelab Cinta Sayang. Begitu kejam diperlakukan tubuh badan mangsa! Mangsa dirogol, diliwat dan ditikam di leher.
Lama pihak polis mencari pembunuh, suspek demi suspek ditahan tetapi tiada jawapan. Kes ini, kembali senyap tetapi bapa Gaik Yap tidak pernah putus asa dan sentiasa bertanyakan status kes anaknya dan sentiasa memberikan tekanan.
Sehinggalah tertuduh dalam kes ini iaitu Shahril Bin Dato Jaafar dipanggil untuk memberikan keterangan pada 2009 kerana penjual kereta di tahan. Kereta Naza itu akhirnya berjaya dicamkan selepas 3 tahun.

DNA tertuduh telah diambil tetapi ahli keluarganya telah menjaminnya dan tertuduh telah melarikan diri ke Australia selama 3 tahun. Sebaik sahaja dia lari, laporan DNA adalah milik tertuduh.
Dikatakan di Australia itu adalah rumah milik keluarganya kerana bapa tertuduh adalah merupakan ahli perniagaan yang berjaya.
Pada tahun 2012, tertuduh telah pulang ke tanah air dan ditahan di KLIA Sepang. Tertuduh telah dibicarakan pada peringkat permulaan dan memeranjatkan tertuduh telah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas alasan bahawa DNA tertuduh tidak sepadan dengan yang ditemui pada si mati.
Sewaktu menerima keputusan inilah bapa Gaik Yap cuba terjun dari bangunan mahkamah. Namun keluarga Gaik Yap tidak pernah putus asa. Sokongan padu daripada masyarakat setempat dan segala usaha telah dilakukan. Pendakwaraya telah memfailkan rayuan dan tertuduh dipanggil untuk membuat pembelaannya di mahkamah.
Dalam kes ini dakwaan tertuduh kononnya, dia sebenarnya melanggan Gaik Yap melalui seorang rakan bernama Wayne dengan harga RM350. Katanya benar mereka mengadakan hubungan seks di dalam kereta Naza tersebut dan selepas itu, Gaik Yap terus pergi meninggalkannya dan Gaik Yap masih hidup. Bermakna Gaik Yap belum mati waktu itu.

Ada satu versi cerita bahawa sedang tertuduh duduk dalam kereta dan menonton video lucah. Kata tertuduh kononnya tiba-tiba Gaik Yap datang mengetuk tingkap kereta dan tertuduh tahu itu adalah gadis yang dihantar oleh Wayne. Jadi tertuduh menyambut baik.
Mahkamah langsung tidak mempercayai kisah tertuduh kerana berdasarkan keterangan adik Gaik Yap, pada hari kejadian Gaik Yap tidak mahu pergi berjoging tetapi adiknya yang memujuk. Jadi tidak mungkin ada perancangan awal Gaik Yap ingin menemui tertuduh.
Bapa tertuduh sewaktu memberi keterangan kepada polis mengakui bahawa mereka ingin menjual kereta Naza kerana berlaku pembunuhan dan pada waktu kejadian dia, isterinya dan Shahril telah sama-sama membuang pisau di tapak sampah di pasar malam.
Namun demikian, bapa tertuduh telah menukar segala keterangannya di kandang saksi. Dia menyatakan kononnya dia menjual kereta Naza itu untuk mencari kenderaan yang lebih besar dan menafikan ada membuang pisau yang ditemui dalam kereta, yang digunakan untuk membunuh si mati.
Kerana keterangan yang bapanya yang bercanggah, Mahkamah berpendapat bahawa bapa tertuduh bukanlah saksi yang boleh dipercayai.

Setelah mempertimbangkan kes pendakwaraya dan tertuduh, akhirnya Mahkamah Tinggi memutuskan tertuduh adalah bersalah dan memutuskan tertuduh dihukum mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tertuduh sekali lagi merayu di Mahkamah Rayuan dan dalam kes Ini adalah laporan kesnya Shahril Jaafar v Pendakwaraya [2017] 1 LNS 112 , Mahkamah menolak rayuan tertuduh. Tertuduh membuat rayuan sekali lagi di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah mengekalkan hukuman.
Begitulah kisahnya jenayah rogol yang berakhir dengan pembunuhan, saya percaya motif utama untuk menutup bukti dan supaya mangsa tidak dapat mengecam perogol.
Malang buat gadis ini kerana tertuduh yang pada waktu itu mencari mangsa untuk memuaskan nafsunya. Siapa sangka, aktiviti jogging yang sepatutnya menjadi aktiviti riadah berakhir dengan satu tragedi.
Jadi berhati-hatilah wanita-wanita dan gadis-gadis semua. Perogol tidak semestinya merancang tetapi kejadian boleh berlaku sekelip mata.
Lebih malang lagi, apabila ada ahli keluarga yang membantu menyembunyikan kejadian sebenar. Kenapa? Maruah keluarga?
Menyelamatkan nyawa tertuduh yang telah merogol, meliwat dan membunuh si mati?
Jika ada golongan yang terus memberikan galakan begini, menyembunyikan begini. Apalah agaknya akan jadi. Bayangkan jika tertuduh terlepas dari dakwaan.
Adakah kejadian akan berulang kepada mangsa yang lain? Hasil kajian, pemangsa seksual sentiasa mengulangi perbuatannya.
Walaupun akhirnya keluarga Gaik Yap mendapat keadilan tetapi Gaik Yap tidak mungkin akan kembali.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.