Saya ada ditanyakan soalan ini dalam ruangan komen tulisan saya berkaitan kes di Kota Tinggi , suami yang menembak isteri sewaktu tidur dan mayatnya ditanamkan.

Pernah satu waktu dahulu, saya dihubungi oleh seorang wanita yang sangat terdesak memerlukan bantuan kerana suaminya yang panas baran dan kebelakangan itu, suaminya sudah mula memukul dan mengasari.
Dia tunjukkan kepada saya mesej-mesej yang dihantarkan oleh suami. Mesej berbentuk ugutan dan maki hamun atas kesalahan yang kecil.
Misalnya kerana pulang kerja lambat. Dia tidak sengaja, terperangkap dalam sesakan jalan raya. Begitulah bagi kesalahan lain yang kita rasakan tidak patut dimaki hamun begitu.
Dia selalu tertekan, takut dan resah. Setiap kali dia membuka mesej dari suaminya, katanya jantungnya berdebar-debar dan setiap hari dia hidup dalam ketakutan. Semuanya dikawal.
Tidak ada satu wanita pun yang patut hidup dalam keadaan ketakutan dan resah begitu. Katanya dia cuba bertahan demi anak-anak.

Saya berikan pandangan undang-undang, dia dan suami telah bercerai dan kehidupan wanita ini lebih tenang dan aman kini. Isu keganasan rumah tangga, sebelum terjadi lebih teruk dan dasyat, perlu ada noktah.
Jika anda, saudara-mara atau teman-teman menghadapi situasi begini, saya hendak pesan bahawa kehidupan kita ini hanya sekali. Jangan sia-siakan.
Layarilah hidup ini dengan sebaiknya, jangan jadi mangsa penderaan mental atau fizikal. Jangan takut untuk mempertahankan hak sendiri. Jangan biarkan anda hidup dalam keadaan ketakutan dan keresahan.
Jadi saya kongsikan sekiranya suami sudah mula hilang kewarasan. Syarat dan usaha yang paling utama, adalah ANDA SENDIRI. Hanya anda yang boleh membantu sendiri.
Kadangkala saya ada juga dapat panggilan dari adik, kakak, keluarga atau kawan yang tahu mangsa didera mental fizikal oleh suami tetapi tuan punya badan sendiri langsung tidak mahu bersuara.

Kalau orang lain buat laporan polis atau ke JKM sekalipun tetapi apabila tuan punya badan sendiri menafikan didera, maka tiada gunanya. Kes tidak boleh diteruskan tanpa keterangan dan kerjasama mangsa.
Ada juga kes, apabila ahli keluarga benar-benar hendak membantu tetapi separuh jalan, mangsa patah balik semula dan membelakangi semua orang yang hendak menyelamatkan.
Katanya “Ini keluarga saya dan kehidupan saya”. Sudahnya apabila terjadi hal sekali lagi, mereka cari semula ahli keluarga dan rakan-rakan untuk minta bantuan. Kemudian berbaik semula. Tidak dapat kita bantu.
Ini bukan fiksyen, ini realiti. Ada situasi begini kita lihat dalam kalangan selebriti atau influencer. Lama-lama kita pun sudah penat membantu, kalau diri sendiri tak mahu bantu. Pokok pangkalnya DIRI SENDIRI.
Jika berlaku penderaan, tidak kiralah pada isteri atau anak-anak oleh suami , tolong dapatkan rawatan segera. Di setiap hospital kerajaan biasanya ada “One Stop Crisis Centres” (OSCC).

Tolong maklumkan kepada Doktor atau jururawat hospital, punca kecederaan anda. Team OSCC di hospital boleh membantu sekiranya anda hendak membuat laporan polis.
Sehinggakan mereka boleh membantu menghubungkan dengan pihak kebajikan bagi perlindungan, kaunseling, khidmat nasihat perundangan. Macam-macam cara boleh membantu. Saya sediakan link di ruang komen, berkenaan Polisi dan Garis Panduan OSCC oleh KKM.
Bukan sahaja JKM, KKM, malahan banyak NGO terutamanya seperti WOA telah menjalankan pelbagai usaha membantu kes keganasan rumah tangga, jenayah seksual tetapi saya tekankan sekali lagi pokok pangkalnya DIRI SENDIRI.
Jika kita tidak bersuara, jika kita tidak mempertahankan hak sendiri, tiada manusia lain yang boleh membantu diri kita. Saya harap sangat kepada kalian yang membaca dan mengalami masalah ini, ambil langkah yang wajar.
Langkah lain, sekiranya anda tidak ke hospital. Tolong adukan di JKM bagi mendapatkan perlindungan secara Emergency Protection Order (EPO) iaitu Perintah Perlindungan Kecemasan.

Perintah ini membolehkan anda dan anak-anak (jika melibatkan anak-anak) dilindungi . Jika anda dikurung, anda boleh hubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam. Usahakan! EPO boleh diperolehi dalam kadar segera.
Anda juga boleh pergi ke balai polis hendak membuat laporan polis. Maklumkan situasi anda, buat laporan secara terperinci.
Bila berlaku keganasan? Bagaimana caranya? Di mana? Siapa pelaku?
Anda boleh minta pihak polis untuk menerangkan prosedur berkaitan mendapatkan Interim Protection Order (IPO) atau Perintah Perlindungan Sementara. Nyatakan dalam laporan polis anda dan anak-anak perlukan perlindungan (jika melibatkan anak-anak).
Perlu dapatkan surat pengesahan daripada polis bahawa mereka siasatan, untuk anda laporkan kepada pegawai kebajikan bahawa anda ingin mendapatkan IPO. Jangan risau, semua proses ini, anda akan dibantu dan tidak keseorangan.

Sekiranya kes ini dibawa ke mahkamah dan didapati anda memerlukan perlindungan, anda akan memperoleh Perintah Perlindungan. Segala prosedur perlindungan adalah selaras dengan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521).
Melalui perintah perlindungan ini, suami dilarang menghampiri orang yang dilindungi dalam jarak 50 meter sekurang-kurangnya, dilarang masuk ke tempat kediaman atau perlindungan orang yang dilindungi, dilarang ke tempat kerja dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah (Sekyen 6 Akta 521)
Jika gagal mematuhi perintah, si suami atau orang yang diperintahkan boleh ditangkap. Saya akan kongsikan semua link yang membantu mangsa keganasan rumah tangga dibawah untuk tahu apa perlu mereka lakukan.
- Portal Kementerian Kesihatan Malaysia: Bantuan Kepada Mangsa Keganasan Rumahtangga
- Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat
- Pertubuhan Pertolongan Wanita (Women’s Aid Organisation)
Saya minta, tolong juga banyakkan membaca. Di Malaysia ini, sangat-sangat melindungi wanita-wanita mangsa dera dan anak-anak mangsa dera. Kita perlu tahu, peka dan cari.
Tolonglah ambil tindakan sebelum terlambat. Tolong sebarkan pesanan ini, siapalah tahu disebalik senyum ada wanita yang sebenarnya memerlukan pertolongan dan tiada arah untuk adukan.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.