
Adakah keterangan seorang kanak-kanak boleh digunakan sebagai bukti di mahkamah?
Berdasarkan maksud kanak-kanak selaras dengan Seksyen 2 Akta Kanak-Kanak 2001, kanak-kanak adalah mereka berusia di bawah 18 tahun. Bella berusia 13 tahun dan juga Bella adalah seorang kanak-kanak Sindrom Down. Berdasarkan video Bella ditemui yang apabila, ditanya siapa yang mencederakannya? Bella mampu menjawab bahawa dia diikat dan bila ditanya, jawabnya ‘Semua’.
Andai kata, Bella diminta memberi keterangan, adakah keterangan Bella seorang kanak-kanak Sindrom Down boleh diterima pakai di mahkamah dan menjadi bukti kukuh? Secara asasnya selaras dengan Seksyen 118, Akta Keterangan 1950 memperuntukkan setiap orang boleh memberikan keterangan MELAINKAN ada keadaan seperti usia, penyakit, keadaan tubuh badan atau minda yang menghalang mereka dari memberikan jawapan yang munasabah.
Berdasarkan Seksyen ini juga memperuntukkan bahawa seorang yang mempunyai keadaan mental masih boleh memberikan keterangan melainkan keadaan mentalnya menghalangnya untuk memahami soalan atau memberikan jawapan yang munasabah. Bagaimana hendak mengesahkan seseorang itu mampu memahami soalan dan memberikan jawapan munasabah.
Jawapan yang munasabah ini, bermakna bukan khayalan atau imaginasi. Bukan berkenaan salah dan betul kerana di mahkamah, ada juga jawapan yang salah dan tidak semestinya jawapan salah itu dianggap tidak munasabah.Memahami soalan satu perkara dan menjawab dengan munasabah satu perkara.

Misalnya kalau kanak-kanak atau mereka yang kelemahan fikiran, apabila ditanya “Nampak siapa yang serang ibu?”. Jika jawabnya “Taklah, mereka main perang-perang. Saya nampak Ultraman dan Batman yang buat ibu”. Jawapan begini memang jelas, kanak-kanak ini tidak dapat memahami dan memberikan jawapan yang jelas.
Terdapat elemen khayalan dan imaginasi.Hakim yang mendengar dan memutuskan kes tersebut yang akan menentukan sama ada seseorang kanak-kanak, kurang upaya atau mereka yang mengalami masalah mental boleh memberikan keterangan dengan menilai melalui laporan psikologi (jika ada), atau bertanyakan soalan dan menilai saksi atau mengadakan pendengaran bagi menentukan sama ada keterangan saksi boleh diterima pakai.
Keterangan bagi kanak-kanak ini juga boleh dibuat secara bersumpah dan tidak bersumpah. Keterangan bersumpah, apabila kita naik ke kendang saksi dan kita baca “Bahawa saya Zabetha, sesungguhnya dengan suci hati bersumpah bahawa keterangan saya adalah benar, tiada yang benar melainkan yang benar-benar belaka”.
Jika kanak-kanak, tidak tahu berkenaan kesan kenyataan sumpah dan bercakap bohong di mahkamah dan tanggungjawab untuk bercakap benar, keterangan mereka masih boleh diambil tanpa bersumpah ini selaras dengan Seksyen 133A Akta Keterangan 1950.Keterangan kanak-kanak itu boleh direkodkan oleh pegawai penyiasat secara lisan atau pun secara bertulis. Paling utama dia perlu faham soalan dan jawapannya adalah dianggap munasabah.
Keterangan dari mereka yang kurang upaya, masih juga akan didengar di mahkamah. Misalnya dalam kes SIRAJUL ISLAM LAWAN PENDAKWA RAYA [2014] 1 LNS 724.Dalam kes ini mangsa berusia 17 tahun sewaktu kejadian dan tertuduh disabitkan bagi tuduhan rogol. Mangsa telah melahirkan anak tertuduh. Pembelaan tertuduh bahawa mangsa memberikan kerelaan melakukan hubungan seks oleh yang demikian, tiada paksaan bagi hubungan seks.
Namun saksi pakar iaitu SP3 mempunyai Bachelor or Degree in Pyschology mengesahkan bahawa pemikiran mangsa adalah sama dengan kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah walaupun waktu penilaian psikologi dibuat mangsa berusia 18 tahun 8 bulan.

Malahan SP3 juga mengesahkan seperti berikut:
Q: Medical history?
A: With strong family of down syndrome, most of the sibling have down syndrome but no treatment.
Mangsa masih dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah walaupun terdapat keterangan dari pakar bahawa pemikiran masa seolah-olah bawah 10 tahun.Ini dapatan hakim “Semasa mangsa memberi keterangan, Mahkamah mendapati kelakuan, pertuturan dan tindakbalas mangsa terhadap soalan yang dikemukakan juga tidak seperti orang yang seusianya dan telah bersifat keanak-anakan.
Mangsa juga tidak rela terhadap perbuatan OKT terhadapnya dan mengatakan OKT telah merogolnya”Ini salah satu antara contoh kes bahawa sistem keadilan di mahkamah turut mendengar suara kanak-kanak, suara orang kurang upaya tertakluk kepada situasi dan kes.
Kebimbangan saya sekiranya Bella trauma dan terkesan akibat penderaan dan episod ngeri dalam hidupnya. Bagaimana pula penceritaannya nanti berkaitan dengan kes.Bukan sahaja Bella, kalau mangsa kes penganiayaan atau penderaan atau rogol, semuanya pasti trauma. Semuanya hendak melupakan kenangan silam dan ada kes mereka terus ‘shut down’.
Manusia yang normal yang mengalami trauma juga akan terkesan. Bagaimana pula adik Bella ini? Semogalah Bella terus kuat dan boleh menceritakan kembali kejadian dan menjadi bukti di muka pengadilan nanti. Semoga banyak saksi-saksi lain yang akan bekerjasama memberikan keterangan bagi mendapat keadilan sewajarnya. Semoga keadilan yang sewajarnya untuk Bella.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.