WHI, TV 3 : Isu Penderaan Kanak-kanak. #justiceforbella

Saya ambil semula isi-isi penting yang telah saya kongsikan tadi, dalam isu penderaan kanak-kanak dalam temubual Wanita Hari Ini, di TV3 tadi.

1) Penderaan kanak-kanak ini termasuklah penderaan secara fizikal, mental, emosi, pengabaian, pendedahan kepada bahaya, kegagalan dalam menyediakan kebajikan yang sepatutnya.

Kadang-kadang orang faham, dera itu pukul sahaja, sebenarnya skopnya lebih luas. Pengabaian dan pendedahan anak kepada bahaya, kecederaan juga adalah kesalahan.

Contohnya kita lihat jiran sebelah kita, marahkan anak, dia tidak pukul tetapi dia kuncikan pintu dan biarkan anak-anak diluar rumah dan bermalam di luar tanpa makan, pakai dan mendedahkan kepada bahaya. Ini juga dikira kesalahan.

2) Pengabaian seperti meninggalkan kanak-kanak dan mendedahkan kanak-kanak, misalnya pergi ke outstation dan tinggalkan kanak-kanak berhari-hari tanpa makan dan minuman serta jagaan juga adalah kesalahan.

3) Bukan ibu bapa sahaja yang boleh didakwa melakukan penderaan, pihak lain seperti ibu bapa angkat, pengasuh, penjaga yang memperolehi perintah jagaan dari mahkamah juga boleh didakwa melakukan penderaan berdasarkan Seksyen yang relevan di bawah Akta Kanak-Kanak.

4) Kita semua ada tanggungjawab terhadap kanak-kanak dan jika berlaku penderaan, wajib kita laporkan.Misalnya di bawah Seksyen 27, Seksyen 28 dan Seksyen 29 Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kewajipan pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh membuat laporan jika disyaki terdapat penderaan, pendedahan kepada kesalamatan atau pengabaian kanak-kanak.

Contoh situasi, jika kita adalah seorang doktor, ada kanak-kanak yang dirawat dan didapati ada kesan-kesan yang luar biasa seperti kesan cucuhan rokok atau api, kesan ini wajib dilaporkan kepada polis, pelindung atau JKM.

Atau contoh situasi lain apabila pengasuh terlihat kesan cedera pada kanak-kanak yang dihantar oleh ibu bapa yang bekerja. Jika kelihatan luka yang disyaki kerana didera, laporkan.

Ada beza luka terhantuk secara tidak sengaja atau terjatuh dengan luka penderaan.Jika gagal laporkan, adalah merupakan kesalahan jika sabit kesalahan yang boleh didenda maksimum RM5,000 atau dipenjara maksimum 2 tahun.

5) Jangan bimbang berkenaan tindakan saman fitnah kerana buat laporan kerana di bawah Seksyen 116 Akta Kanak-Kanak 2001, memberikan perlindungan tindakan undang-undang terhadap informer seperti pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh.

6) Kita perlu ambil tahu, perlu peka dan perlu laporkan jika berlaku kes dera. Kalau tiada laporan, tiada tindakan dari pihak polis dan kanak-kanak mangsa dera tidak boleh diselamatkan.

Sekian.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: