Gangguan Seksual

Minggu lepas ada seorang sahabat hubungi saya tetapi waktu itu saya sedang sibuk. Saya balas melalui WhatsApp, nanti saya hubungi semula. Tulisnya, kalau sempat hubungi semula kerana tentang kes gangguan seksual. Malam sedikit, saya buka WhatsApp, dia ucapkan terima kasih dan minta maaf menganggu tadi, katanya kes telah selesai.

Dia cuba dapatkan nasihat dari kenalannya tentang situasi ini. Nasihat individu itu abaikan dan lupakan. ‘Move on!’ katanya barangkali juga jika dia bercakap telefon dengan dia tadi, nasihat yang sama saya berikan. Lupakan dan ‘Move on!’. Kes ini terjadi kepada isterinya sendiri. Dia marah dan kecewa. Kalau tidak mengikut akal yang rasional, barangkali juga bakal bertumbuk tetapi dia tidak ikut rasa hati.

Saya terus hubungi isterinya dahulu kerana kedua-duanya cuba menghubungi saya. Saya dengar suara isterinya. Masih dalam rasa terkejut dan seperti tidak percaya. Katanya, sebelum ini ada dia dengar tentang kes gangguan seksual ini. Dia tahu haknya dan apa yang sepatutnya dia lakukan tetapi bila terjadi pada diri sendiri dia jadi terkejut dan terkedu.

Long Anticipated Sexual Harassment Bill To Be Tabled In Parliament In 2020  | TRP

Saya bertanyakan situasi dan dia ceritakan satu persatu. Pemangsa tahu dia sudah bersuami dan pemangsa memang berani. Secara ringkasnya gangguan dari perkataan yang digunakan, bayangan yang diberikan tentang perbuatan seks dan tiba-tiba dengan sentuhan.

Kata sahabat saya waktu terjadi itu, dia antara percaya dengan tidak kerana yang melakukan perbuatan itu seseorang yang dia hormati, seseorang yang dikenali dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Yang layaknya dipanggil bapa. Sahabat saya minta jangan dipegang di khalayak ramai.

Hairan, orang yang dikenali begini seperti tidak takut ada yang memerhati. Apabila sahabat saya memberi pesan, baru matanya memandang sekeliling. Agaknya seperti baru tersedar dari lamunan. Kadangkala yang membuatkan saya hairan dengan ‘public figure’ begini. Mereka ini amat terkenal tetapi apabila datang isu berkenaan dengan nafsu serakah seks ini, mereka jadi lupa untuk menjaga nama baik dan berhati-hati dalam setiap perbuatan.

Nafsu mendahului akal. Sebab itu kalau kita perhatikan kes di luar negara seperti Bill Cosby, R Kelly, James Franco. Mereka ini nama-nama besar di Hollywood tetapi banyak kes dakwaan seksual terhadap mereka. Susah untuk diterima logik, kenapalah tidak kawal diri? Kalau hendak adakan hubungan seks, kenapalah tidak secara rela?

Saya percaya mereka ramai peminat dan ramai wanita sanggup menjadi kekasih dan hubungan seks di sana juga diluar perkahwinan.Jadi kenapa perlu dimangsakan wanita yang tidak memberi kerelaan? Kenapa perlu meninggalkan trauma? Barangkali saya rasakan kerana itu ‘fetish’. Kepuasaan yang mereka perolehi secara memangsakan orang.

Misalnya Bill Cosby berpuluh wanita yang tampil menceritakan bagaimana mereka dimangsakan. Diberikan dadah, dipaksa melakukan seks, dirogol dan paling teruk seks terhadap kanak-kanak. Saya ada menonton dokumentari dakwaan seks terhadap Bill Cosby ini. Cosby dikatakan menggunakan kedudukan dan pengaruhnya.

Kebanyakan mangsa diyakinkan bahawa pertemuan mereka dengan Cosby adalah untuk sesi mencari bakat. Memiliki wajah yang menarik, muda dan dengan keinginan mendapat tempat di Hollywood menyebabkan mangsa-mangsa datang bertemu dengan Cosby tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka bakal dimangsakan. Rata-rata wanita yang dimangsakan, selepas selesai mereka disuruh atau dihantar pulang.

Antara percaya dan tidak dengan kejadian yang berlaku, rata-rata mangsa menceritakan bagaimana mereka mengambil masa untuk cuba ‘menghadamkan’ kejadian dan ramai berdiam diri bertahun-tahun lamanya. Mereka bimbang pendedahan mereka hanya akan diperli, dibodohkan dan dijadikan bahan jenaka oleh masyarakat kerana Bill Cosby seorang yang popular dan kerana karakter Bill Cosby yang telah membeli jiwa masyarakat.

Jujur saya katakan, jika saya sendiri sangat sukar untuk percaya. Saya membesar menonton siri kegemaran saya di NTV7, Kids Says The Darndest Things. Saya suka melihat bagaimana Bill Cosby melayan kanak-kanak dan pandai dia mencuit hati kanak-kanak. Siapa yang boleh percaya lelaki yang mempunyai karakter seorang suami penyayang dan pandai memikat kanak-kanak ini sebenarnya adalah pemangsa seks?

Sepanjang kes ini, isteri Cosby yang dia kahwini sejak 1964 lagi sentiasa berdiri teguh bersama Cosby. Malahan dalam dokumentari tersebut, isterinya duduk bersebelahan Cosby yang menjawab soalan dari pengacara. Tuduhan jenayah/kesalahan seksual oleh Cosby bermula sejak tahun 1960 an dan berterusan selama beberapa dekad. Memang sukar untuk percaya tetapi adakah kita menafikan hak 60 orang wanita yang membuat dakwaan terhadap Cosby?

Adakah daripada 60 orang wanita yang menuduh ini semuanya membohong? Saya tonton pengakuan mangsa-mangsa yang ditemubual dan saya percaya kisah mangsa-mangsa. Jadi apabila rakan saya dimangsakan ini katakan ada yang menasihati tidak perlu teruskan. Saya tidak setuju.

Jangan biarkan orang begini terus memangsakan orang. Dari penceritaan sahabat saya, saya percaya ini bukan kali pertama. Pertuturannya, gerak geri dan keyakinan pemangsa ini memang telah biasa. Saya katakan jika kita diam dan kita rahsiakan hanya akan memberikan kekuatan kepadanya untuk terus melakukan kesalahan jenayah ini pada orang lain. Lapor pada polis, sama ada terdapat kes atau tidak, itu serahkan pada polis. Paling utama laporkan.

Semalam saya tonton rakaman Analisis, ‘Pentaasub Punca Jenayah Seksual Berleluasa?‘, panel jemputan adalah Ustaz Prof Dr Ridhuan Tee dan Ustaz Firdaus Wong serta seorang wanita mangsa gangguan seksual. Temubual ini langsung tidak menyebut nama dan menujukan kepada mana-mana pihak secara spesifiknya tetapi kepada situasi dan juga diberikan contoh karakter. Mungkin ramai yang membuat andaian daripada laporan kes baru-baru ini.

Saya rasakan kupasan ini adalah sangat baik. Rata-rata saya baca komen, ada yang tulis “Masih dalam siasatan polis, jangan dibahaskan”. Panel dalam rancangan ini tidak membahas tentang elemen jenayah kes, salah atau betul, kenapa tiada hukuman? Bukan itu yang dibahaskan sehingga menganggu siasatan polis. Tidak.

Yang dibahaskan berkenaan situasi bahawa bagaimana sekiranya perbuatan jenayah seksual ini dilakukan oleh seseorang yang berpengaruh atau terkenal atau ahli agama? Apa kesannya atau implikasinya? Bahaya atau tidak kepada masyarakat?

Penerimaan masyarakat dan tindakan yang perlu diambil.Masyarakat perlu didedahkan dengan hal sebegini. Saya rasakan isu ini sepatutnya memang perlu dibincangkan apabila ada dakwaan liwat di sekolah agama dan pelbagai situasi.

Apabila kita sebagai masyarakat sukar untuk percaya bahawa yang melakukan jenayah seksual itu, mereka yang penuh ilmu agama. Pendedahan dan kesedaran perlu ada, supaya kita tidak memberi ruang kepada pemangsa untuk terus berlindung disebalik kedudukan. Saya tidak yang bercakap berkaitan seorang individu, lihat dari konteks yang lebih luas. Sekiranya selepas ini menjadi trend kes-kes begini berlaku dan terus didiamkan.

Apa agaknya berlaku kepada masyarakat? Ini sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Tidak sama seperti contoh saya berikan di Hollywood yang banyak kes melibatkan orang berpengaruh dan kenamaan. Walaupun mereka telah lama mengalami situasi ini pun sukar untuk percaya dan ada penyokong atau peminat yang memang tidak mahu langsung percaya. Itu terpulang. Sehingga menyalahkan mangsa dan cuba mengambil kesempatan.

Jadi bagi negara kita, kes begini sesuatu yang baru dan masih baru terjadi melibatkan mangsa yang ramai. Antara kes lain sebelum ini yang melibatkan seorang pendakwah dituduh dengan dakwaan rogol dan kesnya masih berjalan di mahkamah. Pendapat dan penerimaan orang berbeza. Pasti sukar untuk ‘dihadamkan’ oleh fikiran kita tetapi perlu ada usaha untuk mengawal perbuatan bagi mengekang kes-kes ini kian meningkat di kemudian hari.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: