Jika berlaku kematian yang diyakini bukan akibat punca-punca semulajadi. Adakah undang-undang yang membolehkan kematian itu disiasat?

Sekiranya berlaku kematian dan kita yakini bahawa kematian tidak berlaku akibat punca-punca semulajadi. Adakah undang-undang yang membolehkan kematian itu disiasat? Saya pernah mewakili seorang ibu yang kematian anaknya dan si ibu yakin anaknya tidak meninggal dunia secara semulajadi.

Selepas berlaku kematian, tiada siasatan lanjut tetapi dinyatakan punca kematian. Firma kami hantarkan surat mendapatkan status terkini kes dan apakah hasil siasatan. Barulah kes ini selepas 2 tahun kematian, baru anak guam dimaklumkan bahawa kes ini akan dirujuk ke Mahkamah Koroner. Apa itu Mahkamah Koroner dan inkues kematian?

Selaras dengan Seksyen 329 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), sekiranya berlaku kematian yang disyaki terdapat elemen keraguan siasatan akan dimulakan oleh polis. Sekiranya berdasarkan siasatan polis mendapati kematian adalah disebabkan bukan sebab semulajadi atau unsur jenayah, polis akan mengaturkan bagi post-mortem mayat tersebut dengan pegawai perubatan kerajaan berdekatan (S. 330 KPJ).

Selanjutnya pegawai perubatan kerajaan akan menyediakan satu laporan berdasarkan post-mortem (S.332 KPJ) dan menyerahkan kepada Majistret laporan (S. 333, KPJ). Seksyen 337 KTJ memperuntukkan tugas mahkamah koroner untuk memastikan bila, dimana, bagaimana, cara si mati meninggal dan adakah sesiapa bertanggungjawab secara jenayah berkenaan kematian si mati?

Sewaktu prosiding inkues di mahkamah ini, ahli keluarga boleh melantik peguam pemerhati untuk mewakili keluarga sepanjang prosiding ini. Dalam Perkara Siasatan dan Chandran Perumal [2015] 5 LNS 108, berikut adalah merupakan petikan-petikan yang saya ambil dari kes:

“Inkues bukanlah satu perbicaraan jenayah. Tidak ada pertuduhan, tidak ada pendakwaan mahupun pembelaan. Dalam erti kata lain, tiada tertuduh yang dibicarakan oleh mahkamah”

– Perenggan 14.

“Satu inkues telah diadakan oleh Mahkamah Koroner ini terhadap si mati ini di bawah seksyen 339 KAJ. Penama pada ketika itu berusia 47 tahun telah ditemui tidak sedarkan diri di dalam Lokap Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada jam lebih kurang 7.00 malam pada 10/09/2012”

-Perenggan 1

“Bedah siasat telahpun dijalankan dan punca kematian penama adalah disebabkan “Hypertensive heart disease”.

Waris penama dihubungi sebaik sahaja penama disahkan meninggal dunia. Penama telah ditahan di Lokap Dang Wangi bermula pada 6/9/2012 sehingga kematiannya pada 10/9/2012 kerana disyaki terlibat dengan satu kes culik yang disiasat oleh IPD Cheras.

“Inkues telah dijalankan ekoran daripada aduan polis yang dibuat oleh waris penama”. “Di dalam kes ini seramai 15 orang telah memberi keterangan di dalam prosiding kes inkues ini”

“Semua saksi awam telah memberikan keterangan bahawa maklumat telah diberikan kepada pihak polis bahawa Chandran memerlukan rawatan perubatan iaitu memakan ubat-ubatan beliau setiap hari bagi penyakit darah tinggi beliau mengikut jadual tetapi tidak diendahkan oleh mereka.”

“Berdasarkan inkues mahkamah memutuskan bahawa si mati meninggal kerana telah berlaku pengabaian salah (unlawful omission) sehingga menyebabkan kematian si mati dengan cara tidak memberikan ubat-ubatan si mati untuk penyakitnya dan tidak membuat tindakan-tindakan sewajamya”

“Pegawai dan anggota polis dari IPD Cheras dan Dang Wangi kerana telah melakukan pengabaian salah (unlawful omission) sehingga menyebabkan kematian si mati dengan cara tidak memberikan ubat-ubatan si mati untuk penyakitnya dan tidak membuat tindakan-tindakan sewajamya sedangkan keadaan kesihatan mendesak si mati dalam tempoh yang dimaksudkan adalah ketara yang mewajarkan beliau dihantar dan dirawat segera di hospital.”

“Mahkamah dengan ini menutup inkues ini. Mahkamah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Pendakwa Raya dan Peguam Pemerhati kerana membantu mahkamah”

Dalam kes Chandran Perumal, setelah mendapat keputusan bahawa kematian Chandran diakibatkan oleh kecuaian pihak polis. Ahli keluarga Chandran kemudian telah menuntut secara sivil bagi kecuaian terhadap kematian Chandran terhadap polis dan tuntutan ahli keluarga dibenarkan dengan nilai keseluruhan sebanyak lebih kurang RM400,000++.

Jadi merujuk kepada kes pengawal keselamatan yang meninggal dunia beberapa bulan selepas diserang dan dipukul oleh tertuduh, mempunyai selaras undang-undang untuk menyiasat punca jangkitan paru-paru adakah dari akibat semulajadi?

Sekiranya Mahkamah Koroner memutuskan kematian bukanlah akibat dari kematian yang semulajadi, siasatan boleh diteruskan berdasarkan Seksyen yang relevan. Saya memetik semula laporan berita dan kenyataan Ketua Polis Perak bahawa berikutan dengan kematian mangsa kes ini, diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semoga keadilan yang sewajarnya untuk mangsa dan ahli keluarga.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: