
Dua hari lepas (13 September 2021), dilaporkan seorang kanak-kanak berusia 22 bulan iaitu Zaid Harith terjatuh dari bangunan tinjau di Taman Rekreasi Wetland Setia Alam. Adik Zaid dilaporkan mengalami pendarahan dalaman pada otak dan ditidurkan bagi mengelakkan Adik Zaid mengalami kecederaan lebih serius. Seperti yang dilaporkan dalam berita Astro Awani, ‘Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang menimpa kanak-kanak terbabit’.
MBSA telah membuat semakan segera dan mendapati bangunan tinjau Taman Rekreasi Wetland Setia Alam adalah di bawah pengurusan pemaju Bandar Setia Alam.
“Pihak MBSA akan membantu memanjangkan isu ini kepada pihak pemaju untuk tindakan lanjut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku”-MBSA
Merujuk kepada kes ini dan situasi ini, pasti ramai yang ingin tahu, apakah hak kita? Sekiranya berlaku kecederaan akibat kerosakan di tempat awam atau jalan berlubang atau pokok yang dipotong dan dibiarkan di atas jalan tanpa dikemaskan, adakah kita berhak menuntut secara saman?
Seperti saya selalu jelaskan, kita semua punya hak dan kita perlu mempertahankan hak kita tetapi sebelum memulakan tindakan, kita perlu meneliti dahulu fakta, kedudukan undang-undang dan pihak terlibat. Saya rujuk kepada KPS-HCM SDN BHD v. SHAHRUL IZEWAN MAT HUSIN & ORS [2018] 6 CLJ 772 yang telah diputuskan oleh mahkamah, Plaintif mendapat pampasan sebanyak RM126,500 bagi ganti rugi am dan RM3,640 bagi ganti rugi khas.
Fakta kes:

Pada 6/10/2010, Plaintif iaitu Shahrul Izewan sedang menunggang motornya dari Batu Caves ke IPD Gombak, Selayang. Sewaktu di Jalan Bukit, sebatang pokok telah tumbang dan dahannya telah menimpa Shahrul dan mencederakan Plaintif. Shahrul (Plaintif) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Defendan Pertama iaitu Majlis Perbandaran Selayang kerana pokok tersebut dimiliki oleh MPS, Defendan kedua iaitu KPS-HCM Sdn Bhd sebagai syarikat yang menyelenggara bagi kecederaan yang dialami akibat kecuaian Defendan Pertama dan Defendan Kedua.
Manakala MPS memasukkan JKR sebagai pihak ketiga atas alasan kawasan kemalangan dimiliki oleh JKR dan Defendan perlu menanggung liabiliti kerana Defendan Kedua perlu menyelenggara jalan tersebut. Di mahkamah, isu berkaitan berlaku kecederaan dialami akibat pokok yang telah tumbang langsung tidak dipertikaikan, saya petik laporan kes ini:
“[45] Reverting to the facts, it was not disputed that the accident was caused by the fallen tree branch from one of the trees on the road reserve bordering the road which hit the plaintiff causing injury”.
Apa yang dipertikaikan dalam kes ini adalah siapa yang perlu dipertanggungjawabkan, MPS? Syarikat penyelenggara? JKR?
Kes ini dimulakan di mahkamah Sesyen dan Mahkamah Sesyen mendapati bahawa Defendan Kedua iaitu syarikat penyelenggara perlu menanggung liabiliti 100% dan perlu membayar jumlah pampasan bernilai RM126,500 bagi ganti rugi am dan RM3,640 bagi ganti rugi khas. Tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, Defendan Kedua merayu dan banyak persoalan ditimbulkan sewaktu rayuan.
Antara yang dipertikaikan adalah berdasarkan kontrak, sejauh mana tugasan Defendan kedua, adakah termasuk menyelenggara pokok-pokok dan membersihkan kawasan sehingga menjadi tanggungjawab syarikat untuk menanggung kecederaan? Adakah kawasan tersebut dimiliki oleh JKR? Apakah kedudukan undang-undang Kanun Tanah Negara dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 berkenaan dengan tanggungan kecuaian ini?

Akhirnya di Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Defendan Pertama iaitu Majlis Perbandaran Selayang bertangunggan secara keseluruhan. Kes yang menarik untuk dibaca. Ini adalah salah satu contoh kes saman yang telah difailkan di mahkamah bagi tuntutan kecederaan yang dialami di tempat awam.
Jadi sama ada kita berada di hotel, stadium atau di mana-mana, kesimpulannya, tindakan boleh diambil. Cuma kita perlu memastikan fakta dan pihak-pihak yang terlibat bagi memastikan tuntutan yang dibuat terhadap pihak yang benar-benar bertanggungjawab supaya tidak tersalah pihak. Semoga adik Zaid diberikan kesembuhan segera dan sembuh seperti sediakala.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.