Kes terhadap guru yang didakwa bergurau lucah diklasifikasikan sebagai ‘NFA’. Apa itu NFA?

Kes terhadap guru yang didakwa bergurau lucah diklasifikasikan sebagai ‘NFA’. Apa itu NFA? NFA ini adalah singkatan dari perkataan ‘No further action’. Bermaksud tiada tindakan lanjut untuk dituduhkan dan didakwa di mahkamah. Biasanya terma ini digunakan apabila tiada keterangan atau bukti yang kukuh untuk membuktikan sesuatu kes jenayah walaupun siasatan telah dijalankan.

Saya tidak mahu sentuh isu saman menyaman diantara Guru tersebut dan juga Ain. Bagi tuntutan yang dibuat oleh Guru dan juga pembelaan serta tuntutan balas terhadap Ain, biar mahkamah yang putuskan. Tetapi saya ingin jelaskan tentang ‘NFA’ ini kerana saya tidak mahu ada mangsa-mangsa gangguan seksual atau mangsa seksual terasa tidak yakin membuat laporan polis atau mengambil tindakan kerana situasi kes ini.

Apa tidaknya, kes ini mendapat perhatian satu Malaysia dan menjadi topik perbualan semua. Ramai beranggapan ada tindakan yang diambil.Tanpa penjelasan yang cukup tentang proses siasatan ini, akan membuatkan ramai orang jadi bimbang hendak melaporkan. Ada banyak persoalan timbul ‘Kenapa polis tidak ambil tindakan?’ ‘Kenapa Ain yang disaman pula?’.

Berita begini akan membuatkan barangkali mangsa-mangsa bagi kes gangguan seksual atau jenayah seksual yang lain jadi tidak yakin hendak buat laporan. Apa tidaknya? Pasti ada rasa sangsi dan takut ‘Kita report, kita pula kena’. Saya jelaskan disini.

Begini, prosesnya apabila kita membuat laporan polis selaras dengan Seksyen 107, Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), pihak polis akan meneliti sama ada terdapat unsur-unsur jenayah dalam laporan tersebut. Jika pada penelitian polis, tiada elemen jenayah sewaktu laporan diterima, maka mengikut praktis yang biasa, itulah kadang-kadang kita terima sekeping surat ‘Rujuk pada Majistret’, selaras dengan Seksyen 108.

Ini kerana, tiada elemen jenayah dan laporan itu bukan merupakan kesalahan boleh ditangkap. Jadi perlulah ambil tindakan sivil dan saman. Kes sivil ini boleh dirujuk kepada Mahkamah Majistret, Sesyen atau Mahkamah Tinggi. Jika kes ini ada elemen jenayah, maka kertas siasatan akan dibuka. Polis pun akan menyiasat.

Bagaimana cara siasat? Polis akan mengumpul bukti, mengikut kes. Kaedah berbeza mengikut kes. Kalau kes melibatkan penipuan wang, maka bukti-bukti seperti pindahan wang, whatsapp, dokumen dari bank jika ada, dll. Kes jenayah seksual juga, perlu ada bukti-bukti seperti laporan pemeriksaan perubatan terhadap mangsa, lakaran tempat kejadian, pakaian mangsa dan apa-apa bukti yang relevan mengikut situasi kes.

Cross-question, detainee, interrogation, investigate, policeman,  questioning, suspect icon - Download on Iconfinder

Paling utama, selain dari dokumen keterangan saksi-saksi akan diambil. Keterangan dari pengadu atau mangsa, keterangan dari suspek dan saksi-saksi yang relevan. Kalau kes jenayah berat atau berprofil tinggi saksi mencecah hingga puluhan dan ratusan. Pihak polis akan mengenal pasti jenis kesalahan jenayah yang bersesuaian dengan Seksyen dan Akta Kesalahan.

Untuk, kalian faham, saya jelaskan contoh. Misalnya, kalau ada seseorang dituduh merogol. Jadi beban pembuktian penyiasat adalah seorang lelaki merogol (melakukan seks) seorang wanita dengan paksaan tanpa kerelaan. Elemen pembuktian adalah suspek dikenalpasti dan dicamkan mangsa.

Andai kata keterangan mangsa “Keadaan gelap saya tidak nampak tertuduh tetapi saya pasti itu dia”. Ini memang bakal dan akan dicabar oleh peguam yang mewakili tertuduh. Tertuduh akan menggunakan pembelaan, bukan dia merogol tetapi orang lain. Jadi sangat penting keterangan mangsa, pengecaman suspek sewaktu siasatan. Jika ada bukti DNA lebih bagus tetapi kadangkala mangsa telah membersihkan diri dahulu.

Bukti seterusnya dan elemen perlu dibuktikan adalah perbuatan suspek itu melakukan hubungan seks paksa. Jika keterangan mangsa dapat dipatahkan dan ada keraguan bahawa perbuatan suspek bukan seks tetapi dimasukkan objek lain. Maka, ini bakal dicabar oleh peguam mewakili tertuduh bahawa kononnya tertuduh tidak melakukan seks paksa tetapi menggunakan objek, ini bukan selaras dengan elemen jenayah rogol dibawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan.

He doesn't hit me, so why am I scared? - MyDr.com.au

Jika berjaya hujah peguambela suspek, kebarangkalian tertuduh dibebaskan dari tuduhan dan dakwaan rogol amat tinggi. Nampak? Setiap satu kesalahan ada elemen yang perlu dipenuhi kerana setiap elemen ini perlu dibuktikan di mahkamah.

Jadi selepas melakukan siasatan dan cuba mencari pembuktian serta keterangan berdasarkan elemen jenayah dan kertas siasatan adalah selesaikan, kes ini akan diserahkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk izin memulakan pertuduhan kes di mahkamah.

Pendakwaraya pula akan meneliti kertas siasatan. Jika Pendakwaraya beranggapan, ada elemen tetapi tidak cukup bukti, barangkali Pendakwaraya akan meminta bukti lanjut. Jika bukti setta keterangan tidak kukuh untuk membuktikan kes jenayah, kes ini bakal diklasifikasikan sebagai ‘NFA’. Saya baca beberapa laporan media kes Ain ini untuk saya fahami mengapa kes ini diklasifikasikan sebagai NFA kerana apabila tiada penjelasan lengkap, kita jadi tertanya-tanya.

Dalam banyak-banyak bacaan laporan kes, saya terbaca laporan oleh Malaysia kini. Linknya ada diruang komen dan saya screenshot artikel, manalah tahu artikel dipadamkan tiba-tiba.Menurut laporan ini bahawa ada satu sumber memaklumkan ‘Polis mendapati tidak tidak cukup unsur jenayah bagi mendakwa seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol di dalam kelas awal tahun ini’.”

Pegawai penyiasat siasat kes ini mengikut beberapa undang-undang, termasuk Seksyen 11, 12 dan 15 Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Soaca) dan juga mengikut Seksyen 509 dan 294 Kanun Keseksaan,” katanya yang merupakan seorang pegawai tinggi polis.Seramai 17 saksi telah dipanggil bagi siasatan kes ini dan terdapat sedikit versi berbeza pada keterangan saksi.

Boleh baca artikel penuh diruang komen. Selepas menyiasat, meneliti akhirnya Timbalan Pendakwaraya memutuskan tiada tindakan lanjut kerana tidak memenuhi mana-mana elemen jenayah. Saya jangkakan waktu siasatan dibuat, elemen jenayah yang bersesuaian dengan Seksyen 509 iaitu perkataan atau gerak isyarat yang boleh menganggu kesantunan dan privasi seseorang tetapi barangkali terdapat keterangan saksi yang tidak menyokong.

Kalau Seksyen 294 KK itu bagi nyanyian lucah, subsekyen (a) adalah melakukan perbuatan lucah. Biasanya dakwaan bagi kes ini bagi jenis orang suka menunjukkan kemaluannya kepada wanita-wanita dan kemudian beredar. Gila!

Saya minta, kalian maklum tentang prosiding undang-undang. Salah tetap salah. Kita adukan dan buat laporan dan jika boleh kita sediakan bukti dan saksi jika ada tetapi dalam kita melaporkan fakta itu biar benar dan kukuh. Sama ada keputusan memihak kepada kita atau tidak tetapi kita usahakan dan ambil tindakan.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: