Pemilik Sebenar Nombor Telefon Siri Squid Game Diganggu, Apa Hak Kita Jika Perkara Sama Berlaku?

Dilaporkan oleh media nombor yang dipaparkan dalam ‘name card’ filem Squid Game itu adalah kepunyaan seorang individu. Turut juga dilaporkan oleh Utusan Malaysia bahawa panggilan telefon diterimanya dari peminat filem Squid Game begitu banyak sehingga menyebabkan telefon beliau mati kerana kehabisan bateri.

Dia juga berkata dia perlu memadam lebih 4,000 nombor. Bagaimana jika situasi ini berlaku kepada kita? Jika kita baca dalam laporan tersebut, dinyatakan bahawa atas kesilapan tersebut, Netflix boleh didenda hingga 50 juta won (S$57,400). Adakah sama undang-undangnya di Malaysia? Andai kata tiba-tiba nombor kita ini ditayangkan dalam filem atau tulisan fiksyen. Apa hak kita?

Situasi yang sama pernah berlaku kepada anak guam saya. Nombornya dimuat naik oleh salah satu drama di Youtube. Yang tidak bagusnya, drama pendek yang dibuat oleh individu/perniagaan persendirian ini memaparkan jalan cerita yang bukan diterima oleh semua golongan atau dalam kata lain tidak senonoh.

Rata-rata genre drama pendek si penghasil video ini juga jenis drama-drama yang jalan ceritanya tidak senonoh. Jadi boleh dikatakan pengemar jenis cerita-cerita jenis begini, lebih kurang sama minatnya. Apabila terpapar nombor kononnya dalam drama tersebut nombor watak wanita yang ingin dijalinkan hubungan, ini telah menarik minat penonton-penontonnya.

Nombor yang kononnya rekaan semata-mata adalah kebetulan milik anak guam saya. Kebetulan begini yang sangat menyusahkan. Apabila peminat jenis drama begini menonton babak pelakon lelaki yang ingin mendapatkan hubungan seks dari watak wanita, melalui nombor telefon yang kebetulan milik anak guam kami, ramailah penonton drama pendek ini menghubungi nombor anak guam saya.

Jijik membaca whatsapp yang mengajak melakukan hubungan seks. Sehinggakan anak guam saya menjadi tertekan. Dia telah adukan kepada SKMM tetapi tidak menampakkan hasil. Dibuat laporan tetapi tiada juga tindakan tegas dan hanya diminta tukar nombor. Tidak adil buatnya.

Kemudian kami failkan tuntutan sivil di mahkamah dan kini masih berjalan. Nampak mudah tetapi anak guam saya sentiasa diganggu oleh golongan mereka yang gilakan perbuatan seks. Kacau ganggu yang menyebabkan kehidupan seharian terganggu demi kerana ‘content’ pembuat drama yang tidak berhati-hati dan mendapatkan jalan cerita untuk keuntungannya.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan sebelum membuat sesuatu content atau pun cerita atau drama berbentuk fiksyen, pastikan janganlah berlaku hal sebegini. Sangat menyusahkan.Kasihan pemilik nombor telefon yang ditayangkan dalam filem Squid Game itu, sudah hampir lebih 10 tahun, dia mendapat panggilan siang dan malam sehingga menjejas kehidupan seharian.

Bayangkan jika nombor yang kebetulan sama itu adalah nombor perniagaan yang bertahun lamanya untuk sesuatu produk.Bayangkan pula akibat kacau ganggu, pemilik perniagaan terganggu dan tidak boleh fokus berniaga dan terpaksa matikan seketika telefon kerana kacau ganggu. Banyak kerugian dialami kerana kebarangkalian kehilangan prospek pelanggan.

Bayangkan pula jika, terpaksa menamatkan nombor tersebut gara-gara tidak tahan kacau ganggu dan terpaksa menggunakan nombor baru sehingga pelanggan tidak dapat menghubungi seperti biasa dan kehilangan prospek keuntungan. Semua ini boleh dijadikan hujah untuk menuntut jumlah ganti rugi di mahkamah yang diakibatkan oleh kebetulan menggunakan nombor yang sama dan dipaparkan dalam tayangan sehingga menyebabkan kacau ganggu.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: