Di messenger ada yang minta saya beri pandangan berkenaan kes pengawal keselamatan meninggal dunia selepas diserang, ditolak dengan meja dan dihempaskan kepalanya ke lantai. Saya tonton berulang kali video CCTV yang viral itu. Ada dua sudut kedudukan CCTV yang berbeza.

Video sudut CCTV 1, kelihatan suspek seperti ada pertikaian dengan pengawal keselamatan (mangsa). Daripada laporan suspek tidak berpuas hati kerana mangsa tidak membenarkan anaknya mandi di kolam renang tempat dia menginap di Homestay tersebut. Hish! Sikap orang begini. Selalu hendak pertikaikan peraturan. Hendak pertikaikan boleh tetapi ada caranya, bukan secara kekerasan.
Andai kata, suspek ini jenis menghormati peraturan dan faham sewaktu pandemik begini, bukan sengaja kebanyakan badan pengurusan kondominium atau apartment mengenakan sekatan terhadap fasiliti atau kemudahan kondominium. Waktu pandemik begini, perlulah faham bahawa ada banyak peraturan. Kejadian berlaku sekitar Disember 2020, waktu ini aktiviti lebih longgar tetapi jika badan pengurusan tidak membenarkan mungkin kerana ada kes di sana, hormatlah. Faham situasi.
Seterusnya dalam video itu, suspek kelihatan marah dari gerak tubuhnya dan menolak sedikit meja. Mangsa membetulkan kedudukan meja itu semula.Saya tidak nampak mangsa seolah-olah melawan atau membuat gerak isyarat yang mencabar suspek. Suspek tolak semula meja dan terbalikkan meja dan terus menolak mangsa ke dinding dengan meja. Mangsa menahan meja tersebut sambil tersepit di dinding.
Mangsa masih memegang meja dan kelihatan meja tersebut dapat menahan serangan suspek. Apabila suspek menolak meja ke dinding, mangsa terhempap ke dinding dan meja itu seakan-akan perisai kepada mangsa. Suspek terus menolak meja dan mangsa jatuh dengan kuat. Sambil meja dihempaskan ke atas badan mangsa. Saya percaya kepala mangsa yang terhempas dahulu ke atas lantai. Meja itu adalah objek atau senjata untuk mencederakan mangsa.

Begitu kuatnya hentakan, sehingga papan meja yang di atas itu tercampak dari besi kaki meja. Bayangkan mangsa ada dibawa meja sewaktu tubuhnya terhempas? Haih. Saya ada meja lipat begini, boleh tahan beratnya. Bayangkan digunakan untuk menyerang seseorang. Sebab itu gambar viral kecederaan mangsa, sangat teruk. Saya faham perasaan ahli keluarga, mereka kecewa.Saya ulang dan ulang video.
Kenapalah singkatnya fikiran? Yang suspek itu sedang bertengkar dengan orang lebih tua. Sudah tentu kudratnya tidak sama, seperti menunjukkan samseng tidak kena tempat. Tambah pula tubuhnya dihempas dengan meja begitu. Umurnya sudah tua. Apa salahnya kalau suspek itu hormat peraturan, sehingga hendak dibelasah begitu sekali? Kerana hendak puaskan marah, sekarang tanggung akibat.
Seterusnya berulang kali saya lihat anak kecil suspek. Dari awal pertengkaran bapanya dia lihat segala perlakuan bapanya. Dia diam berdiri sambil memerhatikan pertelingkahan bapanya.Sewaktu bapanya mula menyerang, mula menolak meja dan menghimpit mangsa ke dinding masih dia berdiri di satu tempat yang sama. Cuma dia berganjak tetap tidak jauh, apabila si bapa menolak dan menghempas mangsa ke atas lantai. Dia terpaku kemudian dia mula bergerak menghampiri bapanya.
Saya lihat lagi tingkah laku anak ini dari CCTV ke 2 dari satu sudut, kelihatan mangsa baring tidak sedarkan diri. Anak kecil ini melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri. Terbaring. Dia berdiri terpaku seketika, kemudian dia lari cuba memegang seluar bapanya. Bapanya kelihatan mundar mandir ke hadapan dan belakang. Barangkali panik.
Kemudian, suspek tarik tangan sebelah kiri mangsa dan bahu sebelah kanan mangsa. Sewaktu ini, anak ini hampir dengan mangsa melihat bapanya menarik tubuh mangsa. Mangsa tidak sedarkan diri. Kelihatan si anak kecil terus melangkah ke belakang dan belakang. Bapanya kembali mundar-mandir dan mundar-mandir lagi. Anak kecil ini mengikut setiap pergerakan bapanya. Mundar-mandir bersama-sama.
Saya betul-betul rasa, seorang kanak-kanak tidak patut melihat satu situasi dasyat begitu. Kalau kita yang dewasa berada di tempat kejadian pun, tidak akan melupakan situasi dasyat begini. Dari pertelingkahan sehingga menjadi kematian selepas beberapa bulan. Bayangkan trauma anak ini, menyaksikan jenayah bapanya yang menyerang sehingga mangsa tidak sedarkan diri. Hish! Kalaulah suspek ini fikir panjang.
Tidak mengikut marahnya, hormat peraturan. Peka bahawa anaknya yang kecil ada bersama, jika dia mengamuk begitu bakal menjadi contoh dan ikutan kepada anaknya. Jenis tidak fikir panjang. Kerana mengikut kata hati dan rasa marah, maka terjadilah peristiwa ini. Malangnya buat mangsa dan keluarga mangsa. Mangsa menerima sehingga 9 pembedahan. Isteri mangsa terpaksa menjaga mangsa. Bayangkan perasaan keluarga ini.

Berdasarkan laporan, Ketua Polis mengesahkan bahawa suspek telah dituduh di bawah Seksyen 335 Kanun Keseksaan pada 6/1/2021 dan kes ini ditetapkan pada 6/9/2021 bagi keputusan kes. Seksyen 335 Kanun Keseksaan adalah mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah dan jika sabit kesalahan, hukuman penjara maksimum 4 atau denda maksimum RM4,000 atau kedua-duanya.
Selepas dituduh di mahkamah, tertuduh dibebaskan secara jaminan. Saya faham kenapa keluarga mangsa kecewa, tambah pula dakwaan di bawah Seksyen 335 ini. Berulang kali saya tonton video, tidak sekali pun dari gerak tubuh mangsa. Dia hanya mempertahankan serangan secara menjadikan meja itu perisai. Mangsa meninggal dunia pada 27/8/2021.
Saya faham kenapa keluarga mangsa kecewa. Bayangkan kalau terjadi pada kita? Saya pun pasti kecewa, hancur remuk hati ini. Berdasarkan laporan dari Utusan Malaysia, Ketua Polis Perak berkata lelaki itu meninggal dunia di rumahnya dan laporan bedah siasat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan mangsa mati akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Lewat malam semalam, laporan dari Sinar Harian pula, Ketua Polis Perak, berkata, ia berikutan dengan kematian mangsa pada Jumaat lalu akibat dipukul pada 29 Disember 2020 kes ini, diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.”Polis telah merujuk semula kes berkenaan kepada pihak pendakwa raya dengan mencadangkan pertuduhan yang lebih tinggi dikenakan kepada suspek”, kata beliau.

Walaupun laporan bedah siasat punca kematian adalah disebabkan oleh jangkitan kuman pada paru-paru tetapi yang menjadi persoalan, adakah jangkitan itu diperolehi dari perbuatan tertuduh yang menyerang? Andai kata sekiranya tertuduh tidak menyerang, adakah mangsa akan menerima jangkitan atau adakah jangkitan kesan dari segala pembedahan kerana serangan tertuduh?
Perkara begini, perlu disiasat dengan memanggil pakar perubatan dan sebaik-baiknya kes ini dikemukakan di mahkamah supaya saksi-saksi dapat memberi keterangan. Hak mangsa dan keluarga dapat didengar. Dalam Kanun Prosedur Jenayah juga ada memperuntukkan berkenaan dengan inkues kematian atau siasatan kematian bagi mengetahui sama ada puncanya disebabkan oleh perbuatan jenayah dan bukan semula jadi.
Saya rasa kalau ada perbicaraan begini, hak mangsa dan keluarga mangsa didengar. Sedih melihat gambar isteri mangsa menjaganya, kecederaan yang dialami. Tidak terbayang rasa sedih terpaksa menerima takdir kerana tindakan kejam terhadap mangsa. Petang sedikit, saya kongsikan berkenaan prosedur inkues kematian dan kes kematian berlaku dalam tahanan polis dan mahkamah koroner memutuskan kematian adalah disebabkan kecuaian polis yang bertugas. Ahli keluarga seterusnya berjaya menuntut ganti rugi bagi tuntutan sivil. Panjang sudah tulisan saya, kita rehat seketika.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.