Kesalahan Penganiayaan, Pengabaian, Pembuangan Atau Pendedahan Terhadap Kanak-kanak-Seksyen 31 Akta Kanak-kanak

Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611) memperuntukkan mana-mana kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan terhadap kanak-kanak. Dakwaan kes terhadap tertuduh, dibawah Seksyen 31(1)(a) iaitu ini pernah mengemparkan negara kita beberapa tahun yang lalu. Apabila mayat seorang bayi kanak-kanak lelaki berusia 5 bulan, ditemui dimasukkan dalam peti ais di rumah pengasuh, dalam beg kain berwarna hijau.

Pada mulanya, pengasuh ini mendakwa kononnya bayi ini diambil dan diculik oleh individu yang tidak dikenali dari rumah pengasuhnya. Setelah ditahan dan disoal siasat oleh polis, akhirnya pengasuh memaklumkan dia boleh menunjukkan di mana mayat bayi berada. Hasil bedah siasat mendapati bahawa punca kematian bayi tersebut ialah kecederaan kepala disebabkan oleh “head injury due to blunt force trauma “.

Berdasarkan laporan kes ini iaitu PP lwn. NOOR AQILAH ABDUL RAHMAN [2019] 1 LNS 2118, tertuduh kemudian didakwa dibawah Seksyen 31(1)(a), berikut adalah pertuduhan yang dibacakan dimahkamah:

“Bahawa kamu pada 3/7/2018 di antara jam 6.20 petang hingga 6.50 petang bertempat di alamat ***, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Adam Rayqal telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala. Oleh yang demikian kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) Akta yang sama “.

Ramai yang jadi marah, mengapa tidak Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh? Mengapa tidak dihukum mati? Kenapa hanya Akta Kanak-Kanak? Pastinya ramai yang marah, siapa yang tidak jadi marah apabila mayat seorang kanak-kanak dilakukan begitu? Yang menjadi misteri apa sebenarnya berlaku pada bayi ini? Bagaimana terdapatnya kecederaan di kepala adik Adam Rayqal?

Untuk disabitkan kesalahan membunuh, perlu ada beberapa elemen jenayah, antaranya mangsa mati, kematian itu disebabkan oleh tertuduh, tertuduh mempunyai niat dan tahu bahawa perbuatannya akan membuatkan tertuduh mati. Dalam kes bayi ini, memang berlaku kematian.

Kes lupus mayat bayi dalam peti sejuk bersambung

Tetapi adakah kematian itu disebabkan perbuatan tertuduh? Adakah perbuatan tertuduh itu dengan niat untuk membunuh mangsa? Ada tidak bukti atau saksi mata? Misalnya, terdapat bukti tertuduh menggunakan batang besi dan mengetuk kepala bayi. Perlu ada saksi tetapi dalam kes bayi ini, sangat sukar dibuktikan. Sama ada bayi ini terjatuh? Sama ada dia dicederakan dengan sengaja? Apa sebenarnya berlaku? Bagaimana bukti ingin dikemukakan, sedangkan hanya pengasuh yang tahu apa yang berlaku.

Bahayanya jika pendakwaan terus mendakwa dibawah Seksyen 302 ini, benar berlaku kematian dan apakah pembuktian bahawa bayi ini meninggal kerana perbuatan membunuh dengan niat oleh tertuduh? Jika gagal dibuktikan, boleh jadi tertuduh dibebaskan dari tuduhan membunuh dan bebas.

Pembelaan bahawa tertuduh tidak menyebabkan kematian terhadap si mati atau tidak tahu perbuatannya menyebabkan kematian seringkali digunakan oleh tertuduh sebagai pembelaan dalam kes-kes pembunuhan. Adakala apabila kita baca laporan kes, pembelaannya nampak tidak logik, pada pembacaan kita. Malahan, mahkamah juga tidak boleh menerima pembelaan sebegini dan menjatuhkan hukuman.

Misalnya dalam kes MOHAMMAD AWARI AHMAD lwn. PP 2019] 1 LNS 543, tertuduh didakwa kerana merogol dan membunuh mangsa. Mangsa dikelar dan sebelum meninggal dunia, mangsa sempat menulis atas nota siapa pembunuhnya. Di mahkamah, tertuduh mengaku pada hari kejadian hanya ke rumah si mati untuk merompak dan merogol, dari awal dia telah membawa parang tetapi sewaktu memberi keterangan kononnya dia terjumpa parang sewaktu masuk ke dalam rumah mangsa dan diambil parang tersebut.

Jika dia mengakui dari awal membawa parang. Niat tertuduh akan dipertikaikan. Kemudian, versi pembelaan tertuduh lagi, sewaktu menyelongkar rumah, tiba-tiba katanya mangsa lalu, tertuduh terkejut dan melibas leher mangsa. Ada dua kesan libasan, jadi tertuduh ditanya jika tidak sengaja kenapa sehingga dua kali kesan libasan. Tertuduh mengatakan parang memantul kerana libasan, itu yang sehingga jadi dua kali.

Hmmm. Ini bukan bola atau permukaan tayar tetapi begitulah pembelaan di mahkamah. Pelbagai versi. Tertuduh cuba tunjukkan dia tiada niat untuk membunuh sejak awal, dia tidak sengaja melibaskan parang. Mahkamah tidak percaya versi pembelaan tertuduh. Tidak munasabah. Oleh yang demikian, tertuduh dijatuhkan hukuman mati. Di mahkamah ada pelbagai versi pembelaan.

Misalnya dalam kes LA ODE ARDI RASILA v. PP [2015] 10 CLJ 48, pembunuhan pegawai wanita di Ambank, yang ditembak menggunakan pump gun oleh pengawal keselamatan yang membawa lari wang dari bilik kebal. Pembelaan tertuduh kononnya, pump gun itu rosak. Dia cuba betulkan, tetapi tertembak tepat pada muka mangsa. Apabila dicabar oleh pendakwaraya tentang niat tertuduh, jika tiada menembak, mengapa pump gun tersebut berada dalam mode “unlock”.

Jawabnya pump gun itu rosak.Pump gun yang sama telah dibawa untuk ujian Ballistic dan telah dicampakkan dari jarak beberapa kaki dan dalam keadaan lock. Walaupun dicampakkan, butang lock itu masih kekal terkunci. Oleh itu dakwaan tertuduh tidak munasabah dan tertuduh dijatuhkan hukuman mati.

Lihat bagaimana contoh yang saya berikan, bagaimana pendakwaraya begitu teliti dalam membuktikan kes mereka. Bahawa ada kematian, kematian disebabkan oleh tertuduh dengan niat membunuh. Di mahkamah ini, pelbagai ujian, laporan, keterangan saksi akan diteliti dan dipertimbangakan. Misalnya dalam kes jika dikatakan mangsa bunuh diri secara menembak kepalanya, benarkah kedudukan dan letak pegang pistol itu oleh mangsa dan macam-macam lagi.

Jika dikatakan mangsa tercurah air panas. Benarkah limpahan dan curahan itu sendiri? Kita tunggu keterangan saksi-saksi. Begitu juga dalam kes pembunuhan remaja dilebuhraya oleh rakan lelakinya, dalam kes SYARAFI ABU lwn. PP [2019] 1 LNS 234, apabila tertuduh mengatakan luka di leher si mati, adalah kerana si mati mengelar dirinya sendiri. Dua saksi pakar dipanggil, satu mengatakan luka tersebut tidak mungkin disebabkan oleh si mati dan seorang laki mengatakan boleh disebabkan oleh si mati.

Kesan luka, saiz luka, kedalaman luka semua dihujahkan di mahkamah. Mahkamah lebih percaya versi bahawa luka tidak boleh disebabkan oleh si mati. Oleh yang demikian, tertuduh dihukum mati. Begitulah di mahkamah. Dua jam saya tulis, tulisan ini kerana kena buka dan refresh semua kes yang saya sebut ini, saya ingat faktanya tetapi takut berkarat dan bercampur aduk ingatan.

Punyalah hendak bagi faham tentang undang-undang. Tak apa, saya layan tulisan analisis begini. Seronok. Barangkali juga, tertuduh-tuduh dalam kes yang saya sebutkan di atas ini mengatakan mereka difitnah atau dituduh, apa tidak versi yang sangat berbeza dari bukti yang ada. Tetapi mahkamah tidak berpendapat begitu. Ini bukan tentang fitnah, ini bukan tentang versi pembelaan tertuduh semata-mata tetapi bukti secara menyeluruh.

Jadi kalau kalian rasakan, kenapa hanya Seksyen 31 (Akta 611) dan bagi pengabaian, baca semula pertuduhan kes Adik Adam Rayqal di atas.

“..sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Adam Rayqal telah mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan di bahagian kepala..”

Benar, tidak dapat dibuktikan kematian dan pembunuhan oleh tertuduh. Tidak juga dapat dibuktikan penderaan tetapi tertuduh dalam kes ini telah dijatuhkan hukuman penjara selama 6 tahun. Bagaimana boleh digambarkan kesalahan dibawah Seksyen 31 ini tiada apa-apa, sedangkan hukuman maksimum penjaranya sahaja sudah 20 tahun.

JusticeForBella, Warganet Mahu Pendera Kanak-Kanak Sindrom Down Dihukum! –  “Zalim! Binatang Pun Ada Empati, Ini Syaitan Bertopengkan Manusia!” | Gempak

Macam tidak kena langsung apabila ada yang bersyukur dikenakan dakwaan pengabaian je. Tolonglah sensitif, teringat luka Bella yang terumpil dan Bella tertakut-takut dalam video. Tidak dibawa ke hospital. Rambut dipotong pendek.Mengabaikan rawatan Bella dan mengabaikan hak Bella serta menyebabkan emosi terganggu adalah kejam. Jadi apa yang perlu disyukuri? Semoga keadilan yang sewajarnya untuk adik Bella.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: