Remaja Disamun Hingga Terpaksa Dipotong Tangan-Seksyen 394 Kanun Keseksaan

Kasihannya nasib remaja yang disamun dan tangan terpaksa dipotong sehingga ke paras bahu. Bayangkan, usia semuda itu. Masa hadapannya dirampas oleh manusia-manusia kejam. Tangan ini, adalah aset tubuh badan yang sangat penting dan utama dalam kehidupan manusia. Saya berharap sangat perompak-perompak ini ditangkap segera.

Malang memang tidak berbau. Tiada siapa yang akan menyangka bahawa akan ada manusia-manusia kejam yang akan mengubah kehidupan sekelip mata. Masa di universiti dahulu, ada seorang rakan saya, tangannya ada kesan di kelar-kelar. Terkejut saya lihat. Teruk kesan parutnya. Kemudian saya tanya, apa yang berlaku?

Katanya sedang dia hendak melintas jalan, tiba-tiba ada penunggang motor dan pembonceng berhenti dan menarik beg yang dia bawa. Dia pertahankan begnya supaya tidak dibawa lari. Dalam pada pembonceng motor menarik beg dan rakan saya tidak mahu mengalah. Pembonceng ini keluarkan sebelah pisau. Dikelarnya tangan rakan saya ini, hirisan demi hirisan. Semuanya berlaku sekelip mata. Rakan saya terpaksa mengalahkan dan melepaskan.

Mujurlah tiada kecederaan serius tetapi kejadian begini akan kekal dalam ingatan seumur hidup. Begitulah juga kisahnya salah seorang pekerja di satu firma saya bekerja, beberapa tahun dahulu. Sewaktu melintas jalan, tiba-tiba rantai emasnya diragut oleh pembonceng motor. Wanita ini sempat cengkam tangan si peragut. Penunggang motor dan pembonceng jadi panik. Jenayah begini, masa adalah perkara paling utama.

Silap langkah mereka akan tertangkap. Wanita ini masih mempertahankan rantai emas yang berharga ribuan ringgit. Penunggang terus memulas pendikit atau throttle minyak dan menyeret wanita ini, sehingga terseret tubuh badannya di atas jalan. Habis luka-luka kerana diheret. Dia terpaksa akur dan melepaskan cengkaman dan rantainya diragut penjenayah-penjenayah ini.

Masalah Sosial Di Malaysia: Jenayah Ragut

Kejam. Memang mereka kejam. Kes-kes yang dilaporkan di mahkamah, ada mangsa sehingga dirogol, dibunuh. Perbuatan sangat kejamnya, demi untuk kepentingan diri. Tidak cukup mencuri, dicederakan, dirogol, dicabul malahan ada yang dibunuh. Bagi jenayah rompakan, hukumannya sangat berat.

Kalau secara perseorangan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 14 tahun dan sebatan atau denda dibawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Jika secara berkumpulan boleh sehingga jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 20 tahun dan sebatan dibawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Jika dengan sengaja mengakibatkan kecederaan kepada mangsa sewaktu melakukan rompakan jika sabit kesalahan boleh dihukum maksimum 20 tahun dan sebatan atau denda dibawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Kalau mangsa sehingga meninggal dunia, tertuduh boleh dihukum mati atau maksimum 30 tahun penjara dan sebatan jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 396 Kanun Keseksaan.

Malang memang tidak berbau. Semoga remaja ini, diberikan kesembuhan walaupun keadaan tidak mungkin sama kerana kekejaman yang bakal mengubah kehidupannya.Dari pembacaan saya, mangsa ini seorang remaja yang rajin dan sentiasa berusaha. Semoga dia bangkit dari trauma.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: