Seksyen 499 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah-Ebit Lew, Caprice & Nadir

Kalau dulu, jarang-jarang hendak membaca laporan berita bahawa polis meneruskan siasatan kes di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan bagi kesalahan fitnah.Ada tetapi tidak banyak, jarang-jarang kita baca dan dengar. Kalau saya buat bacaan dan kajian dalam Current Law Journal, kes yang dilaporkan dibawah Seksyen 499 KK dan boleh dihukum dibawah Seksyen 500 KK, sangat kurang jika dibandingkan dengan kesalahan jenayah yang lain.

Apabila ada yang mendakwa mereka difitnah dan minta pandangan guaman dari saya, mereka tanya patut atau tidak buat laporan polis? Saya kata boleh buat laporan polis tetapi tertakluk sama ada polis ingin meneruskan siasatan atau tidak kerana perlu memenuhi elemen di bawah Seksyen 499 KK ini.

Kebanyakan kes-kes fitnah ini biasanya diteruskan dengan tuntutan sivil di mahkamah antara individu bagi menuntut ganti rugi dan jarang dan sangat sukar, disiasat dibawah Seksyen 499 dan 500 Kanun Keseksaan. Cuma kebelakangan ini, selalu pula saya baca polis mengambil keterangan dibawah Seksyen 499 dan 500 KK ini. Misalnya dalam kes laporan Ebit Lew terhadap Caprice dan Nadir.

Terkini kes di antara Rozita Che Wan dan Azwan Ali.Berpunca dengan kata-kata sindiran yang dipercayai oleh Azwan Ali dan kemudian Che Ta marah dan memuatnaik tulisan berkenaan dakwaan rasuah terhadap Azwan Ali.Selepas dimuat naik, Che Ta dipadamkan tetapi laporan polis telah pun dibuat.

Semalam Che Ta dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak polis bermula dari 12 tengahari sehingga pukul 4 petang.Itulah apabila kes tulis-menulis, perli-memerli di media sosial ini, sudahnya disiasat sehingga 4 jam. Kadang-kadang saya fikir juga, apalah kepuasan yang dapat menyerang begini dan kemudian berakhir dengan siasatan, saman-menyaman. Pening dan susah hati je dapat! Belum tentu dapat puas hati kerana terpaksa menghadap bala selepas hal ini berlaku.Yang membuat laporan itu pula, habis semua orang dimaki hamunnya.

Berani juga melawak tentang Munkar dan Nakir di stesen radio tetapi apabila ada yang membalas semula terhadapnya cepat pula dia terasa. Selain laporan polis, dia mahu saman 5 juta.Kali ini, dia patut tahu begitulah perasaannya, dimaki hamun, dituduh. Tidak seronok. Ini bukan kali pertama isu dia, maki hamun orang.

Seperti mana pernah sekali dulu Dato Vida ingin menyamannya kerana menyentuh isu anak-anak Dato Vida yang meninggal kerana kebakaran. Hendak saman-menyaman, hak masing-masing. Hendak buat laporan polis juga hak masing-masing. Jadi, sentiasa beringat. Apabila kita mengata orang, perli-perli, maki hamun. Pihak sana juga berkemungkinan bagi reaksi yang sama. Pihak yang beri reaksi juga perlu ingat bahawa dengan memberi reaksi secara maki-hamun dan fitnah juga akan menyebabkan tindakan undang-undang diambil terhadap kita.

Semakin hari, semakin menjadi-jadi kes salah guna media sosial ini. Beberapa tahun kebelakangan ini, terlalu banyak dakwaan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menggunakan rangkaian dan atau platform internet membuat hantaran, komen berbentuk jelik, palsu, sumbang, menganiaya.Barangkali selepas ini, makin banyak dakwaan dibawah Seksyen 500 KK kerana fitnah pula kerana lambakan kesalahan fitnah dan perlu dikawal. Guna media sosial dengan bijak.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: