
Bagi pendakwaan di mahkamah, banyak perkara yang memainkan peranan. Dari peringkat penyiasatan, pendakwaan, keterangan dan hujahan sangat penting bagi mahkamah membuat keputusan. Saya terbaca berbeza pendapat berkenaan dengan keputusan, seorang jurujual wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian 8 remaja menaiki basikal lajak, empat tahun lalu.
Bagi kesalahan ini adalah kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 sekiranya sabit kesalahan (selepas pindaan pada 2020) minimum penjara 5 tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000. Elemen utama yang perlu dibuktikan dalam Seksyen 41 (1) ini adalah pemanduan secara melulu atau dengan kelajuan atau dengan cara yang merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.
Bermakna kalau sekiranya berjaya dibuktikan, tertuduh telah mematuhi segala peraturan jalan raya tetapi malang tidak berbau dan berlaku kemalangan, maka tertuduh tidak boleh disabitkan kesalahan dibawah Seksyen.Ambil contoh dalam kes KIONG CHIAT SENG lwn. PP [2021] 1 LNS 255, tertuduh dalam kes ini disabitkan kesalahan di bawah seksyen 41(1) kerana telah memandu dengan cara merbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal (“Mangsa”).
Tertuduh telah dihukum penjara selama 24 bulan dan denda sebanyak RM15,000.00. Lesen memandu Perayu dibatalkan untuk tempoh selama 3 tahun dan kesalahan dicatat pada lesen memandu. Tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah, tertuduh telah merayu dengan alasan-alasan bahawa sewaktu perbicaraan tertuduh dan saksinya telah memberikan keterangan bahawa sewaktu melintas simpang lampu trafik adalah hijau dan bukan merah dan motosikal mangsa yang telah melanggar tertuduh.

Ini adalah hujahan dari tertuduh. Pihak pendakwaan telah mengemukakan rakaman CCTV, bahawa sewaktu tertuduh membelok kanan lampu isyarat di persimpangan itu berwarna merah. Ini adalah satu pembuktian bahawa pemanduan tertuduh adalah melulu dan merbahaya.
Namun demikian ada beberapa perkara yang ditimbulkan sewaktu rayuan kerana sewaktu kejadian kenderaan yang terlibat sebenarnya ada 4 buah iaitu kereta tertuduh, motorsikal si mati, kereta yang si mati terlanggar sewaktu kemalangan nombor pendaftaran PMP6***(pemilik kereta ini ada membuat laporan polis) dan satu lagi kenderaan nombor pendaftaran PLX2***.
Kedua-dua pemandu kenderaan ini tidak dipanggil sebagai saksi untuk memberi keterangan. Oleh yang demikian Perayu menghujahkan bahawa siasatan yang dijalankan adalah tidak lengkap. Perayu turut menghujahkan bahawa kegagalan pihak Pendakwaan memanggil pemandu kereta PMP 6*** dan PLX 2*** sebagai saksi Pendakwaan semasa perbicaraan telah menyebabkan kelompangan di dalam kes Pendakwaan.

Ini adalah rumusan Mahkamah Tinggi, tentang dua kenderaan yang tidak dipanggil sebagai saksi Pendakwaan, tiada keterangan yang boleh mengecualikan mereka sebagai pihak yang berkemungkinan telah menyebabkan kematian mangsa.
Rakaman CCTV tidak menunjukkan secara jelas pelanggaran antara motosikal yang ditunggang oleh Mangsa dan rakaman tersebut juga tidak menunjukkan bagaimana pelanggaran motosikal dengan kereta PMP 6*** berlaku dan pelanggaran dengan kereta mana yang menyebabkan kematian Mangsa.
Berdasarkan kesemua pertimbangan seperti dinyatakan di atas, Mahkamah ini tidak berpuas hati bahawa kesemua elemen dalam Pertuduhan telah dibuktikan di akhir kes Pendakwaan. Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan tertuduh terhadap sabitan dan hukuman. Keputusan Majistret bertarikh 2 Januari 2018 diketepikan sepenuhnya.
Ini salah satu contoh kes, bagaimana mahkamah meneliti segala dokumen, keterangan dan bukti dalam membuat keputusan. Adakah benar terbukti, tertuduh telah melakukan kesalahan? Semua ini perlu dihujahkan, jika tidak terbukti maka ada kebarangkalian dilepaskan dan dibebaskan. Berkenaan kes basikal lajak, kita tiada bersama di mahkamah, kita tidak dengar kenyataan saksi sepatah demi sepatah. Mahkamah telah putuskan berdasarkan segala penelitian. Begitulah antara contoh bagaimana sesuatu kes diputuskan di mahkamah.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.