Hukuman Penjara 6 Tahun Pengasuh Adam Rayqal Dikekalkan – Sebab Kenapa Kes Tidak Didakwa Dibawah Seksyen 302 KK.

Minggu lepas diputuskan bahawa hukuman penjara 6 tahun dikekalkan terhadap bekas pengasuh Adik Adam Rayqal. Kes ini pernah menjadi tumpuan satu ketika dahulu. Majoriti orang awam memberi pendapat bahawa kes ini perlu didakwa dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan membunuh.

Pendapat dan praktis di mahkamah sudah tentu berbeza. Saya ada menulis tentang perbezaan kesalahan mematikan orang secara salah bawah Seksyen 299 Kanun Keseksaan dan membunuh bawah Sekyen 300 KK sebelum ini. Kenapa bukan semua kes didakwa bawah Seksyen 302 KK?Ada perbezaan yang kadangkala sangat sukar ditafsirkan antara kedua-dua jenis kesalahan.

Pun begitu, perlu diputuskan dengan jelas di mahkamah melalui keterangan saksi-saksi. Jika bagi sesuatu kes ternyata jelas bahawa mangsa mati, dikelar oleh tertuduh dileher, terdapat senjata kelaran yang ditemui. Tertuduh tahu bahawa mengelar dileher dengan cara kecederaan yang dalam akan menyebabkan kematian kepada mangsa.

Ada keterangan dan fakta, tertuduh kunci pintu rumah mangsa supaya tiada bantuan boleh dihulurkan kepada mangsa dan mangsa dibiarkan mati. Ahli keluarga masa sempat pulang dan menemui mangsa terlantar dan apabila ditanya mangsa sahkan bahawa tertuduh pelaku. Laporan dan keterangan dari pakar Patologi di mahkamah mengesahkan bahawa akibat dari kelaran itu menyebabkan satu urat utama yang terputus dan menjadi punca kematian.

Semua saksi-saksi dipanggil termasuk ahli keluarga yang ditemui. Maka jelas bahawa mangsa mati akibat perbuatan tertuduh.Jadi ini jelas adalah satu pembunuhan dan boleh dihukum bawah Sekyen 302. Berbeza situasinya apabila, terdapat bukti yang dicurigai dalam fakta kes. Misalnya, mangsa ditemui mati tetapi punca kematiannya tidak jelas. Ada kesan hentakan di kepala. Tiada senjata ditemui. Memang sah tertuduh ada bersama mangsa tetapi tertuduh menafikan.

Banyak persoalan yang timbul. Bagaimana sebenarnya mangsa mati? Dihentak? Terjatuh? Jika dipukul mana senjatanya? Jika benar dipukul, adakah pukulan itu disebabkan oleh tertuduh? Tertuduh maklumkan mangsa terhantuk. Persoalan begini yang sentiasa akan mencacatkan kes pihak pendakwaan jika diteruskan dengan dakwaan bawah Seksyen 302 KK. Tambah pula tiada keterangan dari saksi-saksi yang boleh menyokong. Begitulah rumitnya sesuatu kes pembunuhan ini.

Jadi, saya rasa kalian jelas kenapa dakwaan kepada tertuduh Adik Adam Rayqal bukan dibawah Seksyen 302 KK. Tiada pembuktian dan kes yang kukuh untuk membuktikannya. Saya rujuk kepada laporan PENDAKWA RAYA v NOOR AQILAH BINTI ABDUL RAHMAN [2019] 1 LNS 2118.

Tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen kerana mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala yang merupakan suatu kesalahan di bawah s. 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dan juga dituduh di bawah s. 201 Kanun Keseksaan (pertuduhan kedua) kerana melupuskan mayat mangsa dengan niat untuk menyembunyikan kematian mangsa.

“[3] Setelah pertuduhan pindaan pertama dan pertuduhan kedua dibacakan dan diterangkan kepada responden dalam bahasa Malaysia dan responden memahami sifat dan akibat pengakuannya, responden telah mengaku salah, tanpa syarat, terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut. Hakim Mahkamah Sesyen Selayang (hakim bicara yang bijaksana) telah menerima pengakuan salah responden dan mendapati responden bersalah dan disabitkan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut”- petikan laporan kes.

Bermakna tertuduh mengaku bersalah. Tiada perbicaraan. Saksi-saksi tidak dipanggil. Hukuman dan sabitan berdasarkan pengakuan salah tertuduh. Oleh kerana tiada saksi dipanggil, maka kita tidak akan dapat mendengar hujah dari pihak pendakwaan atau pembelaan bagi sabitan dan tiada keterangan saksi-saksi untuk dirujuk.

Segala fakta kes diperolehi hasil dari kertas siasatan, keterangan tertuduh dan saksi lain sewaktu siasatan polis dan bukan di mahkamah. Berdasarkan pengakuan bersalah Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara secara serentak bagi kedua-dua kesalahan adalah selama 3 tahun 6 bulan dan denda.

Sedikit fakta dari siasatan polis bagi kes ini dan berdasarkan laporan [2019] 1 LNS 2118.

Pada 3/7/2018 jam 12.30 tengahari, ibu mangsa telah menghantar bayi mereka ke rumah pengasuh tersebut. “Kemudian pada hari yang sama jam 7.00 petang, bapa bayi tersebut telah menerima panggilan telefon daripada isterinya yang memberitahu bahawa terdapat seorang lelaki Melayu yang telah datang ke rumah pengasuh dan mengambil anak mereka. Sehubungan itu, bapa bayi itu menyangkakan bahawa anak mereka telah diculik dan terus membuat laporan polis”- petikan laporan kes.

“Ibu bayi itu juga mengatakan bahawa pada jam 6.55 petang, dia ada menerima panggilan telefon daripada OKT namun tidak dijawab olehnya kerana dia sedang bertugas. Selanjutnya pada jam 7.15 petang, dia menerima kiriman “whatsapp” daripada OKT yang mengatakan bahawa anaknya itu telah diambil oleh suaminya. ”- petikan laporan kes.

“vii) Sehubungan itu, pada 3/7/2018 jam lebih kurang 10.00 malam, sepasukan pihak polis telah menahan OKT bersama seorang lagi yang bernama Nor Zaida binti Samsudin di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak. Hasil siasatan lanjut oleh pihak polis, pada jam 10.58 hari yang sama, OKT telah memaklumkan kepada pegawai polis bahawa dia boleh menunjukkan di mana mayat bayi itu berada. ”- petikan laporan kes.

Fakta seterusnya kita tahu apa yang berlaku berdasarkan laporan berita. Maka kes ini di rayu di Mahkamah Tinggi kerana pendakwaraya menghujahkan hukuman 3 tahun 6 bulan yang dijatuhkan adalah tidak memadai.

Sewaktu rayuan, Mahkamah Tinggi mempertimbangkan faktor-faktor berikut dalam menjatuhkan hukuman bagi kes di hadapan Mahkamah (antaranya) Pengakuan salah tertuduh; kesalahan pertama tertuduh. Tertuduh tiada rekod jenayah; tertuduh telah insaf atas kesalahan yang dilakukan dan telah mengaku salah pada kadar segera. Mahkamah telah membenarkan rayuan pendakwaraya dan hukuman dinaikkan kepada 6 tahun bagi kesalahan dibawah Akta Kanak-Kanak.

Team peguam pembelaan dan juga pendakwaraya kedua-duanya merayu. Iaitu pendakwaraya ingin merayu bagi hukuman yang lebih berat manakala pembelaan bagi meringankan hukuman. Namun dilaporkan kedua-duanya menarik balik rayuan di Mahkamah Rayuan. Hujahan kes masing-masing tidak diteruskan. Oleh yang demikian keputusan Mahkamah Tinggi seperti yang dilaporkan di atas adalah kekal iaitu penjara selama 6 tahun.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: