Jika Berlaku Kemalangan, Bolehkah Tuntut Gantirugi Daripada Pihak Bertanggungjawab Seperti Penyelenggara Lebuhraya & Majlis Perbandaran ?

Kredit Gambar: Abdullah Balan Therock

Hal ehwal atas jalan raya, tidak boleh dibuat main kerana seringkali melibatkan tubuh badan dan nyawa. Hatta satu objek kecil sekalipun boleh menjadi penyebab yang meragut nyawa. Sebab itu sangat penting untuk pihak kontraktor atau majlis perbandaran yang terlibat mengambil langkah wajar. Satu tanda isyarat “Awas kerja-kerja sedang dijalankan” dapat menyelamatkan nyawa dan juga mangsa dari kecederaan.

Kegagalan pihak yang bertanggungjawab seperti penyelenggara lebuhraya, majlis perbandaran (tertakluk kepada kawasan dan jalan) menjalankan tanggungjawab yang sewajarnya boleh menyebabkan tuntutan ganti rugi dibuat. Misalnya dalam kes PS-HCM SDN BHD v. SHAHRUL IZEWAN MAT HUSIN & ORS [2018] 6 CLJ 772 yang telah diputuskan oleh mahkamah, Plaintif mendapat pampasan sebanyak RM126,500 bagi ganti rugi am dan RM3,640 bagi ganti rugi khas dari Majlis Perbandaran.

Fakta kes:

Pada 6/10/2010, Plaintif iaitu Shahrul Izewan sedang menunggang motornya dari Batu Caves ke IPD Gombak, Selayang. Sewaktu di Jalan Bukit, sebatang pokok telah tumbang dan dahannya telah menimpa Shahrul dan mencederakannya.Shahrul (Plaintif) telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Defendan-Defendan bagi kecederaan yang dialami akibat kerana kecuaian Defendan-Defendan.

Begitu juga dalam kes Noor Ana Bt Bakri & 3 lagi lawan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad & 1 lagi [2019] 5 LNS 19 mahkamah membenarkan 70% tuntutan kehilangan tanggungan dari jumlah sebanyak RM 422,400.00 kepada anak dan isteri si mati dan tuntutan sebanyak RM 57,600.00 kepada bapa si mati Pada 13.10.2016 jam lebih kurang 8.00–8.30 malam di mana Aisamuddin (si mati) melalui lebuhraya dan terlanggar bongkah kayu di atas lebuhraya di KM 175.4 Lebuhraya Utara Selatan.

Sewaktu di Mahkamah pegawai penyiasat menyatakan bahawa bongkah kayu tersebut berada di laluan kecemasan sebelum kemalangan dan terseret ke bahu jalan akibat perlanggaran. Menurutnya lagi bongkah kayu tersebut digunakan oleh motor/treller untuk menahan tayar dari bergerak. Bermakna arwah telah menunggang motosikal di laluan kecemasan.

Namun demikian mahkamah berpendapat adalah menjadi tanggungjawab lebuhraya untuk menyelia dan memastikan keselamatan pengguna-pengguna lebuhraya agar ia selamat digunakan seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 11(1) Highway Authority Malaysia (Incorporation) Act 1980.Setelah meneliti semua keterangan saksi-saksi dari kedua-dua belah pihak, mahkamah memutuskan bahawa pihak lebuhraya telah cuai namun demikian mahkamah mendapati simati turut menyumbang cuai 30% di dalam kemalangan ini.

Oleh yang demikian, ganti rugi yang diperolehi adalah selepas menolak 30% kecuaian oleh si mati sendiri. Walaupun, si mati ada melakukan kesalahan memandu dilorong kecemasan tidak bermakna ini adalah alasan bagi melepaskan lebuhraya dari tanggungjawab selaras dengan undang-undang. Jadi kita punya hak dan kita boleh mempertahankan dan menuntut hak kita. Semoga kemalangan yang berlaku kepada pakcik ini di Kota Tinggi ini dapat dielakkan dari berlaku lagi. Sistem dan penyelenggaraan jalan serta tanda-tanda amaran sangat penting.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: