Marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi menahan kenderaan awam dari melepasi lampu hijau dan membenarkan kumpulannya melanggar lampu isyarat merah.

Jalan raya milik bersama. Saya juga tidak gemar jika ada aktiviti berbasikal atau motor kuasa yang tidak mematuhi keselamatan jalan raya dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Kalau lampu merah kita patuhi, berhenti. Kalau laluan lampu hijau dan jika kita bukan polis, jangan memandai-mandai hendak menyekat laluan orang secara menahan untuk membenarkan konvoi kita lalu.

Tular di Port Dickson apabila marshal konvoi motosikal berkuasa tinggi menahan kenderaan awam dari melepasi lampu hijau dan membenarkan kumpulannya melanggar lampu isyarat merah.

Kes ini disiasat bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 dan Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 21.11.2021.

Seksyen 21 (1) (a) Akta Polis memperuntukkan bahawa adalah menjadi tugasan polis untuk mengawal dan melencongkan mana-mana lalu lintas.

Jadi bermakna tugasan hendak mengawal, melencongkan hanyalah tugasan polis dan bukanlah marshal dari mana-mana kumpulan basikal atau motosikal tetapi adalah tugasan polis.

Melainkan sekiranya berlaku kemalangan dan memerlukan kita melencongkan kenderaan lain bagi mengelakkan kesesakan jalan raya atau menghalang berlaku pelanggaran antara kenderaan lain pula.

Situasi kecemasan begini, memang dibenarkan tetapi bukanlah situasi “Jalan ini kita yang punya, kawan-kawan!”, sambil menahan kenderaan lain dan melanggar lampu isyarat.

Manakala Seksyen 79(2) Akta Jalan Raya 1987 pula memperuntukkan mana-mana pejalan kaki atau pemandu mendorongi kenderaan lain untuk mengingkari atau mengabaikan petunjuk isyarat yang diberikan adalah merupakan kesalahan yang boleh dihukum denda tidak kurang RM300 dan maksimum RM2,000.

Bermakna jika kita mendorong kenderaan lain untuk tidak patuh arahan jalan raya. Ini adalah merupakan kesalahan dan boleh didenda.

Kalau berlaku situasi begini, ambil nombor kenderaan, tarikh dan jenis kesalahan. Boleh diadukan secara online di laman Web JPJ.

Malahan pada tahun 2019, Astro Awani melaporkan bahawa Ketua Pengarah JPJ mengalakkan orang ramai untuk merakam video kesalahan lalu lintas.

“Kita ada bilik kawalan dan apabila diberitahu (aduan) melalui Whatsapp atau e-mel, kita akan beritahu anggota JPJ dan mereka akan mencari pesalah berkenaan seberapa cepat yang boleh. Kalau ada gambar lagi baik,”-link berita saya berikan di ruang komen. Adukan sebarang kesalahan lalu lintas.

Kita patuhi peraturan jalan raya, kita hormati pengguna yang lain. Jalan raya milik bersama.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: