Boleh saman tidak pemusnah rumah tangga ini?

https://www.kashoorga.com/rumahtangga-goyah-peguam-syarie-jelaskan-cara-saman-pihak-ketiga/?fbclid=IwAR1EfqLI4YBf-UFmk0A79wEjLXI4992NUD_dx4hMO3KSWrH3Yde_gf4wRK8

Saya ada dirujuk oleh suami atau isteri yang dicurangi seperti kes viral beberapa hari ini. Setiap kali luahan mereka adalah pengkhianatan dan penipuan.

Setiap kali melihat pasangan yang mencurangi mereka, walaupun cuba dipadamkan, walaupun telah memaafkan tetaplah perasaan redha dan melupakan tidak akan hadir.

Memaafkan boleh tetapi tidak melupakan. Dua perkara yang berbeza. Ada yang sehingga terpaksa berjumpa dengan terapi atau pakar psikiatri.

Bagaimana kita hendak menuntut ganti rugi kepada pihak ketiga yang menjadi punca kerosakan rumah tangga?

Jika kita adalah orang Islam, antara hak yang kita ada adalah untuk membuat laporan kepada Pejabat Agama. Prosesnya saya kongsikan dalam ruangan komen. Artikel ini berkenaan langkah yang dikongsikan oleh peguam Syarie.

Tetapi perlu faham, hukuman denda dan juga pemenjaraan adalah berbeza dengan ganti rugi. Denda di bayar kepada mahkamah dan bukan pasangan yang merupakan mangsa.

Ganti rugi adalah pampasan kepada mangsa. Jadi bagaimana sekiranya kita hendak menuntut secara ganti rugi?

Di Malaysia, bagi mereka yang bukan Islam Seksyen 59, Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan Dan Penceraian) 1976 (Akta 164) memperuntukkan Kuasa mahkamah terhadap tuntutan ganti rugi kerana penzinaan.

Tetapi perlu dibuktikan dengan jelas bahawa terdapat penzinaan. Pembuktiannya perlu ada. Antara contohnya perbualan whatsapp pasangan yang curang menceritakan aktiviti seks bersama kekasih. Ini jelas dan merupakan pembuktian yang baik. Perlu juga dibuktikan bahawa hubungan ini telah menyebabkan keretakan rumah tangga suami mereka.

Saya rujuk kepada kes DR G v. DR T & ANOR [2015] 2 CLJ 42, pasangan ini kedua-duanya adalah merupakan doktor yang membuka 2 buah klinik bersama-sama. Mereka mempunyai dua anak.

Mereka mempunyai dua buah rumah. Si suami akan tinggal berasingan dengan isterinya dengan alasan ingin menjaga salah sebuah rumah mereka, pada hujung minggu mereka akan meluangkan masa.

Si suami sepatutnya berjanji membawa isteri dan anaknya keluar tetapi membatalkan alasan dan memaklumkan dia sedang sakit. Si isteri yang bimbang akan keadaan suami telah pun pergi memeriksa keadaan suami.

Si isteri ada kunci rumah tersebut telah masuk dan naik ke bilik tidur dan mendapati Responden Kedua iaitu kekasih suaminya sedang memakai pakaian yang menjolok mata bersama suaminya di atas katil sambil minum wine. Si isteri menampar muka suaminya, si suami menolak isteri dan memijak kakinya hingga retak tulang.

Si isteri menuntut perceraian dan hak penjagaan anak. Si isteri turut menuntut ganti rugi sebanyak RM200,000 dari Responden Kedua (kekasih suami) sebagai ganti rugi merosakkan perkahwinannya dan menyebabkan kehilangan rakan kongsi dalam perniagaan kliniknya.

Si suami diarahkan oleh Mahkamah untuk membayar nafkah sebanyak RM6,000 sebulan kepada isteri dan nafkah anak sebanyak RM6,000 sebulan.

Mahkamah juga membenarkan ganti rugi sebanyak RM50,000 sebagai ganti rugi yang perlu dibayar oleh kekasih suami kepada si isteri dengan kadar faedah sebanyak 4% sehingga penyelesaian penuh.

Akta 164 yang saya petik ini hanya terpakai kepada pasangan bukan Islam. Pun begitu, bukanlah bermakna ganti rugi trauma, kepayahan dan kesusahan tidak boleh dituntut di mahkamah sivil. Manalah tahu…

Misalnya sebelum ini, tiada kausa tindakan di mahkamah bagi kes gangguan seksual tetapi kes [2016] 6 CLJ 346 yang telah diputuskan di Mahkamah Persekutuan telah menjadi titik tolak bahawa kes gangguan seksual bukan sahaja boleh diadukan secara jenayah tetapi juga boleh menuntut ganti rugi secara sivil.

Mahkamah berpendapat bahawa Mangsa berjaya menuntut ganti rugi sebanyak RM120,000.

Petikan kes: [81] Sexual harassment is a very serious misconduct and in whatever form it takes, cannot be tolerated by anyone.. [83] With the tort of sexual harassment being freshly introduced into our legal and judicial system.

Manalah tahu undang-undang perosak rumah tangga ini juga diperluaskan lagi skopnya kerana penderitaan yang dialami oleh mangsa dan anak-anak.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: