Curi tabung masjid dan dimandikan ‘jenazah’ sebagai pengajaran.

https://www.sinarharian.com.my/article/182848/BERITA/Semasa/Remaja-dimandikan-seperti-jenazah-dijel-10-hari-denda-RM4000?utm_source=Sinar%20Harian&utm_medium=Sinar%20Harian&utm_campaign=Remaja%20dimandikan%20seperti%20jenazah%20dijel%2010%20hari%2C%20denda%20RM4%2C000&fbclid=IwAR1FeE1L3S0Ek-QyqfX1Yd1mFdvKC1M6Ffe7WWgW35yID-kf7rj0qhE3Crk

Curi itu salah. Salah mengikut hukum agama dan salah dari segi undang-undang. Remaja ini telah pun dijatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda sebanyak RM4,000.

Jika tidak mampu bayar denda, dia bakal dipenjara selama 5 bulan lagi. Apa sahaja sebab dan punca perbuatan mencuri, curi masih salah.

Kita semua tahu dan faham bahawa curi itu salah. Cuma yang menjadikan kita marah adalah tindakan mengambil undang-undang di tangan sendiri oleh kumpulan yang memandikan ‘jenazah’ remaja ini sebagai pengajaran.

Saya teringat petikan berita pesanan Yang Arif Hakim dalam kes lelaki yang menikam mati mangsa dan juga mencederakan OKU yang dituduhnya mencuri barangannya. Link dalam ruang komen.

Kata Yang Arif “Jangan sesekali kita ambil kuasa undang-undang, seolah-olah melaksana ‘undang-undang rimba’ hingga meragut nyawa orang lain meskipun dalam keadaan marah“.

Masih ingat kes ini? Kes yang menimbulkan persoalan ramai, kenapa kita tidak boleh mempertahankan rumah sendiri jika diceroboh?

Yang disampaikan dan kita baca di media berbeza dengan laporan yang dilaporkan di mahkamah dan keterangan saksi-saksi yang menyaksikan bahawa tertuduh, Zulkifli telah menyerang si mati tanpa senjata tatkala si mati merayu-rayu agar jangan dicederakan.

Saksi mata iaitu pekerja-pekerja Petronas di sekitar kawasan mengesahkan perbuatan dasyat tertuduh membunuh tatkala mangsa merayu agar nyawa mereka dibebaskan. Banyak fakta kes ini, tidak dikongsi kepada awam untuk menjelaskan mengapa akhirnya tertuduh dihukum gantung. Nantilah jika ada masa, saya huraikan sedikit tentang kes ini dalam tulisan yang lain.

Perbuatan Zulkifli marah kerana kedua-dua mangsa menceroboh kawasannya. Adakah wajar mereka dibunuh kerana ingin mengambil besi-besi buruk atau barangan terbuang?

Adakah seseorang yang tidak menyerang dan tidak mendatangkan bahaya dan mencuri, dibunuh?

Sebab itu Yang Arif berpesan, jangan ambil undang-undang rimba. Bayangkan, kalau itulah tradisinya di Malaysia ini. Tolak tepi polis dan undang-undang, kita lanyak dan ambil tindakan sendiri.

Masalah undang-undang rimba ini tiada mahkamah keadilan. Penghukum percaya salah atau syak salah, sudah cukup untuk menghukum pesalah. Sama ada terbukti atau tidak, itu belakang kira.

Seperti dalam kes arwah kadet Zulfarhan, tertuduh-tertuduh kononnya membuat tuduhan tentang laptop hilang. Benar atau tidak arwah salah, itu belakang kira. Tertuduh-tuduh tidak mahu ambil tahu. Mereka dera, seksa dan bunuh sehingga mengaku. Akhirnya nyawa yang menjadi korban.

Sebab itu kita ada sistem dan ada undang-undang. Bukan pada tangan kita sendiri. Serahkan terus kepada pihak berkuasa.

Video pengajaran memandikan jenazah remaja ini, dirakam dan ditularkan. Lihat bagaimana penerimaan kita orang awam? Majoriti kita rasa tidak patut dan kasihan kepada remaja ini. Adakah sampai mesej pengajaran? Mengingatkan remaja ini tentang kematian dan azab kubur? Atau tindakan ini memuaskan hati si pelaku?

Kita sebagai orang Islam juga rasa tidak wajar seorang alim agama dan ahli jawatankuasa bertindak kasar terhadap remaja ini.

Ini kita sebagai orang Islam, bayangkan pula perspektif orang bukan Islam yang menonton dan apa agaknya pandangan mereka kepada institusi masjid dan Islam di Malaysia ini? Sampai atau tidak mesej kita bahawa Islam itu cintakan kedamaian?

Contoh melalui tauladan. Sewaktu kecil, cerita pertama yang terus lekat ke kepala dan minda saya sewaktu belajar tentang sirah Rasulullah adalah peristiwa betapa sabarnya baginda dibaling batu ketika berdakwah.

Kalau sikap yang sabar dan tenang. Siapalah yang tidak sayang? Siapalah yang tidak mahu menjadikan ikutan?

Malangnya situasi dalam video itu memberikan gambaran kasarnya dan tidak wajar remaja itu diperlakukan dan memberikan gambaran buruk kepada cara pengendalian ahli jawatankuasa masjid yang sepatutnya menjadi contoh tauladan orang ramai.

Dari sudut kemanusiaan, pandangan saya remaja ini salah kerana mencuri dan ahli jawatankuasa juga salah atas perbuatan mereka yang mengambil undang-undang ditangan sendiri, merakam video dan video tersebut tular.

Kalau masih tidak mahu duduk semeja atau berbincang serta memberikan dakwah. Cukup buat laporan polis. Jangan ambil undang-undang di tangan sendiri kemudian, ditularkan video sehingga mendatangkan rasa malu kepada dia dan ahli keluarganya.

DISCLAIMER:

Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.

Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.

%d bloggers like this: