
Dua tiga kali saya ulang video ini. Saya fikir apa yang dia cuba buktikan? Saya bayangkan situasi berbeza. Andai kata, dia ingin berikan duit.
Cakap elok-elok. Kemudian, masa tingkap dinaikkan dia ketuk-ketuk sambil beri teguran bahawa tingkap hampir menyepit jarinya. Kemudian tingkap itu berhenti diturunkan. Dia senyum pada anak-anak dan dia lambai dan beredar.
Andai kata situasi begitu. Anak-anak pun lambai semula. Indah. Tenang dan aman. Perpisahan kadangkala berlaku tetapi jangan keruhkan keadaan. Cara kita, sikap kita akan membuatkan orang memberikan reaksi dan mempertahankan diri mereka.
Dalam ruang komen, ada juga seorang dua yang menyokong tindakan lelaki ini dan minta netizen faham mengapa dia mengamuk. Ceh! Bukan saya tidak mahu faham.
Tetapi melihatkan reaksi begitu, kalau saya di tempat wanita ini juga saya akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tindak -tanduk. Kalau tidak peka, apa entah kesan dan akibatnya. Dalam pada si isteri ini peka pun, si suami gunakan segala kudrat untuk rentap cermin begini. Macam merusuh.
Jenis tidak fikir panjang, pemarah, tidak fikir kesan kepada anak-anak dan diri sendiri, pentingkan diri. Selalunya sikap kita sendirilah yang menyusahkan kita. Bukan orang lain. Kalau jenis begini, siapa yang mahu toleransi lagi.
Perbuatannya adalah melakukan khianat terhadap harta benda yang bernilai RM25 ke atas dan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kan menyusahkan diri sendiri?
Malahan tindakan ini juga adalah merupakan satu perbuatan keganasan rumah tangga seperti yang ditafsirkan dalam Seksyen 2 (e), Akta Keganasa Rumah Tangga 1994 (Akta 521):
‘(e) melakukan khianat atau kemusnahan atau kerosakan kepada harta dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan kesedihan atau kegusaran kepada mangsa itu; menyebabkan penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi kepada mangsa’
Manakala Seksyen 10 Akta 521 ini, memperuntukkan bahawa mangsa yang mengalami kecederaan diri atau kerosakan kepada harta boleh menuntut pampasan bagi kecederaan atau kerosakan atau kerugian yang dialami. Isteri boleh tuntut kerugian yang dialami.
Jadi langkah yang boleh diambil oleh mangsa dalam kes ini, buat laporan polis bagi kesalahan jenayah di bawah Seksyen 427 KK bagi hukuman denda atau penjara.
Dalam laporan tersebut juga tegaskan berkenaan keganasan rumah tangga dan rujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, jika perlu dapatkan perlindungan untuk diri sendiri atau anak-anak dari segi keselamatan, dari segi menghalang si pelaku dari terus melakukan kerosakan kepada harta benda atau merampas barang-barang.
Bahaya. Kadangkala berhadapan dengan situasi orang mengamuk ini, saya sangat bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini sehingga mengancam keselamatan dan tubuh badan. Perlu berjaga-jaga.
Teringat pesan seorang kaunseling dalam kes rumah tangga. Dia berkongsi satu kisah tentang pasangan yang hatinya dilukai, “Seorang ibu berpesan kepada anaknya, jika kau menyakiti hati seseorang. Ambil paku ini dan kau ketuk di dinding. Setiap kali, kau sakiti atau melukai hati orang..
..Kemudian, kau cabut semula semua paku-paku itu. Lihat bagaimana berlubang dan rosaknya papan-papan yang ditusuk dengan paku-paku yang kau benamkan..
.. Begitulah perasaannya hati mereka yang telah kau dilukai. Paku itu perbuatan kau dan kerosakan itu adalah kesan yang kau tinggalkan. Kau boleh pohon maaf tetapi kesannya masih kekal. Berbekas”.
DISCLAIMER:
Tulisan ini ditulis oleh peguam Nor Zabetha seorang peguam Sivil dan Jenayah yang beramal di Malaysia.
Gambar-gambar dalam artikel ini diperoleh dari carian di internet. Penulis memberikan kredit kepada pemilik gambar-gambar tersebut dan pemilik tidak mempunyai hak cipta bagi gambar-gambar tersebut.