
Ibu mana sanggup menjual maruah anak? Ibu mana sanggup menggadaikan maruah anak demi duit? Jawapan typical masyarakat kita, pastinya tidak! Begitulah masyarakat kita, kita seboleh-boleh mahu menolak segala kata-kata buruk yang menimpa insan bergelar ‘ibu’. Namun realitinya perlu dihadapi. Tidak semua ibubapa layak bergelar ‘ibubapa’.
Terdapat lambakan kes jenayah yang menimpa anak tidak berdosa. Malaysia pernah digemparkan dengan suatu kes sekitar tahun 2017 apabila seorang ibu sanggup melacurkan anak-anak perempuannya kepada dua pekerja kilang berbangsa Bangladesh. Apa yang menjijikkan ialah si Ibu akan turut berada di dalam bilik tersebut untuk menyaksikan sendiri anaknya diratah oleh dua lelaki durjana tersebut.
Kes Siti Zaharah Abdullah lwn. PP [2018] 1 LNS 2211 telah berlaku sekitar empat tahun lalu. Namun, kisahnya sehingga kini masih terasa kesedihan dan keperitannya. Sesiapa pun pastinya tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan anak-anak malang ini dalam situasi mereka masih berumur setahun jagung, lemah dan tidak berdaya melawan kehendak ibunya, dipaksa melakukan hubungan seks bergilir-gilir untuk memuaskan nafsu dua lelaki Bangladesh.
Kisahnya bermula apabila guru kepada kanak-kanak terbabit ada menerima satu mesej whatsapp daripada nombor telefon ibunya yang mengatakan bahawa:
“Eliya telah dijual oleh ibunya kepada lelaki warga asing”
Curiga dengan ketidakhadiran mereka selama 18 hari ke sekolah, guru tersebut telah memaklumkan kepada pihak sekolah. Pihak Sekolah kemudiannya telah memaklumkan kepada PPD, JKM dan pihak Polis.
Siasatan demi siasatan dibuat yang diketuai oleh Inspektor Zuwairi. Inspektor tersebut berjaya menahan OKT bersama dua orang anak perempuannya dengan masing-masing berumur 13 tahun dan 10 tahun. Hasil siasatan mendapati bahawa si Ibu telah beberapa kali membawa anak-anaknya ke Hotel Ghazrin, No. 43, Susur Dewata 1, Larkin Perdana untuk dilacurkan dan akan diberi bayaran setelah selesai mengadakan hubungan seks.

Perjalanan situasi kes bermula dengan si Ibu membawa anak-anaknya ke sebuah bilik yang ditempah sendiri olehnya dan mereka akan dipaksa melakukan hubungan seks dengan dua lelaki tersebut secara bergilir-gilir.
Semasa mereka berdua dipaksa melakukan hubungan seks, si Ibu akan turut berada di dalam bilik tersebut, melihat dan menyaksikan anaknya dinodai dan diperkosa oleh lelaki-lelaki tersebut. Selesai sahaja ‘perkhidmatan’ tersebut, si Ibu akan menerima bayaran sebanyak RM50.00 bagi setiap kanak-kanak.
Kadangkala, kanak-kanak itu akan mendapat upah RM1, RM5, dan RM10 dan RM20. Mereka telah dilacurkan oleh Ibunya sendiri sebanyak lima kali daripada tarikh 01.10.2017 sehingga 07.10.2017.
OKT telah mengaku bersalah keatas kesemua pertuduhan yang dihadapkan keatasnya dan meskipun ada pengakuan daripada OKT, pengakuan tersebut tidak menjadi suatu faktor untuk meringankan hukuman yang dikenakan keatasnya mengambil kira kesalahannya yang sangat berat dan tidak berperikemanusiaan.
Hakim Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara 75 tahun keseluruhannya dari tarikh dia ditangkap. OKT yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan dan hubungan amanah sebagai ibu kandung kepada mangsa, telah dituduh dengan 4 kes yang melibatkan 10 pertuduhan di bawah s. 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama seksyen 16(1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Setiap pertuduhan OKT dijatuhkan hukuman 15 tahun setiap satu dan dijalankan secara berturutan. Kalau diikutkan 10 pertuduhan kali 15 tahun setiap satu ialah 150 tahun hukuman benar?

Namun begitu, Mahkamah merasakan bahawa satu hukuman yang berasingan perlu dikenakan terhadap OKT sekadar mengikut kepada tarikh-tarikh kesalahan dilakukan. Sebabnya kalau kita ikut prinsip perbezaan masa dan tarikh seperti kiraan diatas, tempoh penjara akan jadi sangat lama dan itu menggambarkan suatu bentuk hukuman yang tidak wajar.
…
Oleh itu, Mahkamah menolak rayuan OKT dan mengekalkan hukuman 75 tahun keatasnya. Mahkamah mengatakan bahawa hukuman tersebut adalah setimpal dengan perbuatan tertuduh yang amat parah, serius dan bertentangan dengan budaya masyarakat dan agama. Perbuatan tertuduh bukan sahaja telah merosakkan kehidupan anak-anaknya tetapi juga telah meninggalkan kesan luka yang sangat dalam yang pastinya tidak dapat dilupakan sepanjang hidup kanak-kanak tersebut.
Faktor utama mengapa Mahkamah mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen adalah kerana berdasarkan keterangan oleh anak-anak tertuduh. Mereka sendiri yang mengatakan bahawa mereka tidak ingin berjumpa lagi dengan ibu mereka. Meskipun ibu mereka ada merayu untuk berjumpa dan melihat mereka, mereka masih berkeras dan enggan menemui ibunya,
Begitu bencinya mereka terhadap ibunya. Bahkan, mereka mengatakan bahawa mereka tidak kisah langsung jika ibu mereka menghabiskan hayatnya di penjara. Inilah balasan kepada apa yang terbuku di hati mereka. Dendam, benci, amarah dan keperitan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Dalam kes ini, mangsa tahu bahawa maruahnya digadai dengan serendah RM50 oleh ibunya dan keterangan ini ditandakan sebagai Ekshibit P8. Sewaktu saksi memberi keterangan di Mahkamah, Ekshibit P8 ini dirujuk. Ini merupakan petikan asal Ekshibit daripada laporan kes;
“ ibuku jual puk* ku RM50 sj..itu lelaki Myanmar jadi papa ayam,kerana dia yang cari customer dan duit pegang dia juga,,aku tak blh risau ap2 psl ni,ibuku dan laki tu sj uros semua ni,,aku hanya d2 dalam bilik tu sj macam pinjara tau,, dan tungo“
…
Anak-anak seumur mereka yang sepatutnya masih belajar dan bermain seperti kanak-kanak lain terpaksa berdepan dengan penderaan seksual melampau dan tidak beperikemanusiaan. Zaman kanak-kanak mereka telah rosak, dan apa yang lebih menyedihkan ialah ibu kandung mereka sendiri yang tergamak menjual maruah mereka untuk keuntungan yang tidak seberapa nilainya.
Semoga perkongsian kes ini memberi iktibar kepada masyarakat kita bahawa tanggungjawab melindungi anak-anak bukan sahaja terletak kepada ibubapa tetapi kepada kita juga. Jika tidak kerana cikgu yang melaporkan kes ini, apa yang bakal terjadi kepada anak-anak malang ini? Begitulah besarnya impak jika kita melaporkan setiap kes-kes penderaan yang kita tahu benar berlaku.